1MDB: Polis akan panggil beberapa individu, bantu siasatan pindaan laporan akhir pengauditan - Utusan Malaysia

1MDB: Polis akan panggil beberapa individu, bantu siasatan pindaan laporan akhir pengauditan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil beberapa saksi dalam tempoh terdekat bagi memberi keterangan serta membantu siasatan berhubung dakwaan terdapat pindaan pada laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, PDRM telah menerima satu laporan polis semalam berhubung pindaan pada laporan akhir tersebut sebagaimana yang telah didedahkan oleh laporan media hari ini.

“Laporan tersebut juga menyatakan bahawa Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad turut mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam mesyuarat pada 22 Februari 2016 telah mengarahkan bekas Ketua Audit Negara pada ketika itu untuk meminda laporan audit berkenaan.

“Dalam laporan yang dipinda itu, perenggan berkaitan kehadiran Low Taek Jho dalam salah satu mesyuarat lembaga pengarah 1MDB telah digugurkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Amar Singh, PDRM telah memulakan siasatan di dalam beberapa aspek iaitu penglibatan penjawat awam membentuk suatu rekod atau penulisan yang tidak betul, pemalsuan bagi maksud hendak menipu serta pemalsuan berkenaan dengan sesuatu suratan yang berupa rekod dibuat oleh seorang penjawat awam atas jawatan rasminya.

“Beberapa saksi akan dipanggil dalam tempoh terdekat bagi memberi keterangan dan membantu siasatan berhubung isu tersebut,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN