KUALA LUMPUR – Seramai 17 individu menguruskan sebuah pusat panggilan sindiket judi online ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah banglo di Jalan Bukit Jalil di sini pada 22 November ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 2.30 petang itu, polis menahan 11 lelaki dan enam wanita warga China yang berusia antara 19 hingga 43 tahun.
Katanya, modus operandi mereka menyasarkan pelanggan di negara China menerusi aplikasi WeChat bagi mempromosikan laman web judi melalui pautan yang disediakan.
“Pelanggan yang berminat akan diberikan arahan untuk melakukan transaksi ke dalam akaun yang disediakan dengan kadar minimun RM1 bagi satu kredit.
“Jumlah transaksi yang dibuat berjumlah kira-kira RM 6 juta seramai 200,000 pemain setelah beroperasi hampir dua minggu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini. – K! ONLINE










