JEMPOL 19 Nov. – Sebanyak 1,511 saman trafik berjumlah RM406,690 dilunaskan di kaunter bayaran yang dibuka di Dataran Feldajaya Selatan di sini pada Sabtu dan Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, kesemua tunggakan saman itu dijelaskan selepas Polis Diraja Malaysia menawarkan diskaun sehingga 50 peratus.
“Jumlah keseluruhan saman trafik di daerah Jempol yang diselesaikan bagi tempoh dua hari bermula Sabtu lalu adalah sebanyak RM406,690.
“Saman paling banyak adalah memandu melebihi had laju sebanyak 50 peratus, manakala saman tempat letak kenderaan 20 peratus dan saman tamat tempoh lesen, cukai jalan, insuran serta topi keledar pula 30 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE










