12 jam sengsara dihimpit lelaki gemuk - Utusan Malaysia

12 jam sengsara dihimpit lelaki gemuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 16 Nov. – Seorang penumpang me­nyaman syarikat penerba­ngan British Airways (BA) kerana terpaksa duduk selama 12 jam di sebelah seorang lelaki gemuk.

Stephen Prosser, 51, seorang ahli perniagaan, mendakwa mengalami kecederaan belakang akibat ‘kerosakan tisu lembut’ kerana duduk di sebelah lelaki seberat 146 kilogram tersebut.

Kedua-dua penumpang itu duduk sebelah menyebelah dalam penerbangan 12 jam dari Bangkok, Thailand ke Heathrow, London pada 10 Januari 2016, lapor portal Mirror.

Prosser yang mempunyai ketinggian 157.48 sentimeter (sm) mendakwa, penumpang gemuk itu ‘sangat besar’ sehingga lemak badannya ‘melimpah’ beberapa sm ke dalam kerusi yang didudukinya.

Ahli perniagaan yang berjawatan Pengarah Syarikat serta Jurutera Awam Bebas itu turut berkata, dia terperonyok pada dinding pesawat kerana dihimpit oleh lelaki itu yang mempunyai ketinggian 195.58 sm.

Peguam yang mewakili Prosser berkata, anak guamnya ‘terpaksa menyesuaikan tubuhnya dan duduk dalam kea­daan tidak selesa dan canggung’ sepanjang penerbangan selama 12 jam 40 minit itu.

Bagaimanapun syarikat itu menafikan dakwaan Prosser malah menegaskan mangsa ‘tidak menunjukkan tanda-tanda cedera’ semasa meninggalkan pesawat.

Malah Pengurus syarikat itu menegaskan, penumpang di sebelah mangsa mempunyai badan yang tegap tetapi bukan gemuk.

Prosser yang mempunyai dua anak berkata, dia menghabiskan cuti perayaan Krismas pada 2015 dengan rakan-rakannya di Thailand sebelum kembali ke rumahnya di London pada 10 Januari itu.

“Saya membayar lebih 1,000 pound (RM5,386) untuk penerbangan berkenaan dan lazim­nya saya menggunakan penerbangan Thai Airways tetapi BA mengadakan tiket jualan murah ketika itu,” katanya.

Prosser menuntut ganti rugi antara 5,000 pound (RM26,929) sehingga 10,000 pound (RM53,859) akibat kesakitan, kesengsaraan dan kehilangan keselesaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN