116 pelajar positif dadah di Perak - Utusan Malaysia

116 pelajar positif dadah di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 29 Nov. – Seramai 116 daripada 3,002 pelajar sekolah menengah di negeri ini yang telah menjalani ujian saringan air kencing didapati positif dadah.

Pengerusi Jawatankuasa Kese­jahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Wong May Ing berkata, daripada jumlah tersebut, seramai empat pelajar didapati mengambil dadah jenis opiat, ganja (30) dan methamphetamine (82).

Katanya, jumlah yang direkodkan sejak Januari hingga 30 September lalu itu adalah melibatkan pelajar lelaki.

“Sehingga September lalu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melaksanakan sebanyak 688 operasi bagi menahan mereka yang disyaki penagih dadah di mana 185 daripada operasi itu melibatkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain.

“Menerusi operasi berkenaan, 3,659 orang telah ditangkap dan daripada jumlah tersebut, seramai 1,843 orang positif pada sa­ringan awal manakala 1,036 orang disahkan positif dadah oleh pegawai perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian se­masa menjawab soalan Datuk Samsudin Abu Hassan (BN-Ayer Kuning) pada Persi­dangan Dewan Undangan Ne­­ge­ri (DUN) di sini, hari ini.

Menurut May Ing, bagi me­ngatasi kegiatan penagihan dadah dalam kalangan remaja, ke­rajaan negeri menerusi AADK dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) meneruskan ujian saringan air kencing bagi tujuan intervensi awal untuk mereka yang berisiko tinggi terlibat dalam aktiviti itu terutama pelajar sekolah menengah.

Katanya, pelbagai program dan kempen kesedaran turut diadakan dengan kerjasama JPN merangkumi pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan golongan belia.

“Di samping itu, program ke­sedaran awam seperti ceramah dan pameran juga diadakan dari semasa ke semasa bagi memberi maklumat kepada orang ramai mengenai bahaya dadah selain kempen dilaksanakan menerusi media sosial,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Samsudin mengenai perancangan kerajaan negeri bagi membendung penglibatan pelajar dalam kegiatan tersebut, beliau berkata, selain program lain yang akan diteruskan, pihaknya juga akan menjalinkan kerjasama erat bersama exco lain seperti pendidikan, kesihatan dan belia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN