RAMALLAH 29 Nov. – Kira-kira 1,000 penduduk Palestin yang cedera ditembak oleh tentera Israel dalam beberapa pertempuran di kawasan sempadan Gaza-Israel sebelum ini dilaporkan terkena jangkitan kuman yang boleh menyebabkan mereka menjadi lumpuh secara kekal.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, kira-kira 6,000 penduduk Palestin ditembak tentera Israel dalam beberapa pertempuran sejak Mac lalu.
Sebuah badan kebajikan perubatan, Medecins Sans Frontieres (MSF) yang menyediakan perkhidmatan perubatan serta rawatan terhadap ribuan penduduk Palestin sejak tunjuk perasaan berlaku melaporkan, sistem penjagaan kesihatan di Gaza menerima pelbagai kes dan sering melibatkan rawatan kritikal.
Ketua MSF bagi Palestin, Marie Elisabeth Ingres berkata, kebanyakan mangsa mengalami luka terbuka akibat ditembak dengan peluru hidup terutamanya di bahagian kaki, sekali gus menyebabkan luka itu mudah dijangkiti kuman.
“Dianggarkan kira-kira 1,000 penduduk Palestin yang mengalami luka terbuka dijangkiti kuman dan keadaan itu boleh menyebabkan mereka lumpuh atau anggota badan dipotong jika tidak mendapat rawatan segera,” katanya.
Sehubungan itu, badan kebajikan tersebut menggesa Israel supaya membenarkan penduduk Palestin yang cedera dibawa keluar daripada sekatan bagi menerima rawatan sewajarnya.
Sekatan dikenakan tentera Israel di Semenanjung Gaza menyukarkan lagi penduduk Palestin yang cedera untuk menerima rawatan lanjut.
Sekurang-kurangnya 235 penduduk Palestin di gaza terbunuh sejak 30 Mac dan kebanyakannya maut akibat ditembak tentera Israel ketika pertempuran antara kedua-dua pihak berlaku. – AFP










