KUALA LUMPUR 30 Okt. – Selepas dua hari berdiam diri, vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim tampil memohon maaf kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepadanya yang berhadapan dengan masalah kehilangan suara pada malam konsert Gegar Vaganza (GV) pada Ahad lalu.
Dalam permohonan maaf yang dibuat di laman sosial Instagram rasminya hari ini, Zamani, 47, turut merakamkan penghargaan di atas doa-doa yang dititipkan oleh peminat-peminat setianya.
“Maaf kepada semua kerana tidak dapat menyampaikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta pada malam konsert kelima. Terima kasih pada semua atas sokongan padu yang diberikan pada malam itu,” kata Zamani yang memuat naik ucapan itu di akaun Instagram, @zamanislam_official.
Penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Gerimis Mengundang itu, bagaimanapun, tidak memaklumkan sama ada dia akan meneruskan perjuangannya dalam program terbitan stesen televisyen yang kini memasuki musim kelima.
Permohonan maaf secara terbuka dibuat Zamani selepas namanya menjadi perhatian dan perdebatan peminat setianya serta warganet selepas kegagalannya meneruskan nyanyian menerusi lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta disebabkan peti suaranya ‘koyak’.
Sekalipun gagal menghabiskan nyanyian, Zamani diberikan peluang kedua menerusi imuniti penaja iaitu pengasas produk kesihatan dan kecantikan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang membolehkan penyanyi itu meneruskan cabaran.
Sementara itu, Zamani turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan penerbitan serta rakan-rakan artis lain yang turut bertanding dalam GV musim ini kerana tidak ketinggalan memberi sokongan dan dorongan yang tidak putus-putus buatnya.
Dalam ruangan komen Instagram itu juga, sebilangan besar peminatnya turut menitipkan kata-kata semangat selain mendoakan kesihatannya akan kembali pulih seperti sedia kala.










