SHAH ALAM – Keluarga enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mati lemas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sebuah lombong, di Puchong akan menerima Bantuan Sara Hidup sebanyak RM10,000 setiap keluarga.
Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid berkata, pihaknya akan menyerahkan bantuan keseluruhan berjumlah RM60,000 kepada enam keluarga berkenaan dalam masa terdekat.
Katanya, bantuan itu bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga enam anggota PPDA akibat kehilangan sumber pendapatan utama, terutama isteri yang ditinggalkan.
“Saya bagi pihak Zakat Selangor ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga, sahabat dan rakan sekerja enam orang anggota Bomba yang telah syahid ketika menjalankan tugas.
“Sehubungan itu, pihak Zakat Selangor telah meluluskan sumbangan Bantuan Sara Hidup sebanyak RM10,000 untuk satu keluarga. Semoga dengan bantuan ini dapat membantu kehidupan keluarga yang ditinggalkan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serahan Sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit Hospital (TKPH) LZS berjumlah RM11.8 juta kepada 18 buah hospital di Hospital Shah Alam di sini hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Dalam kejadian 3 Oktober lalu, enam anggota PPDA meninggal dunia selepas mereka terperangkap dalam putaran air ketika dalam operasi SAR seorang remaja lelaki, Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azam, 17.
Mereka yang meninggal dunia ialah Mazlan Omarbaki; Yahya Ali; Muhammad Hifdzul Malik Shaari; Adnan Othman; Mohd. Fatah Hashim dan Izatul Akma Wan Ibrahim.
Kematian mereka mengejutkan negara kerana ia merupakan insiden pertama seumpamanya melibatkan kehilangan nyawa anggota penyelamat dalam jumlah yang besar. – K! ONLINE









