Yahya sempat hubungi ibu minta restu sebelum bertugas - Utusan Malaysia

Yahya sempat hubungi ibu minta restu sebelum bertugas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 4 Okt. – Allahyarham Yahya Ali, 24, anggota bomba yang mati lemas semasa menjalankan misi mencari dan menyelamat di lombong Taman Perdana Putra di Puchong, sempat menghubungi ibunya memohon restu sebelum keluar bertugas malam tadi.

Menurut ibunya, Halimah Geronggong, 42, anaknya itu ada menghubunginya untuk bertanya khabar sambil memohon restu sebelum menyertai operasi tersebut.

Halimah yang tinggal di Kampung Tian, Matu di Mukah memberitahu, perbualan dengan anak sulungnya itu bagaimanapun tidak lama kerana Allahyarham mahu menyambung tugasannya.

“Dia berjanji akan menelefon kembali selepas tugasannya selesai.

“Yahya memang selalu menghubungi saya dan bapanya untuk bertanya khabar  tetapi perbualan terakhir bersamanya malam tadi tidak lama kerana dia mahu menyambung tugas manakala saya sedang memasak di dapur,” katanya ketika dihubungi di sini pag ini.

Halimah berkata, dia yang menunggu Yahya menghubunginya kembali bagaimanapun dikejutkan dengan khabar duka pada pukul 12.30 malam apabila menerima panggilan bahawa anaknya itu mati lemas semasa bertugas.

Tambahnya, Yahya yang bertugas sebagai anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berpangkalan di Klang,  memang bercita-cita mahu menjadi anggota bomba sejak kecil lagi.

“Allahyarham meminati kerjaya bomba kerana mahu membantu masyarakat selain kagum dengan bidang tugas anggota pasukan penyelamat itu.

“Saya menerima pemergian arwah dengan tenang walaupun amat
sedih kerana dialah harapan kami sekeluarga,” ujarnya.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa Yahya adalah pada 21 Julai lalu ketika arwah pulang menghadiri majlis perkahwinan saudaranya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN