KEMAMAN – Gara-gara terlalu takut, seorang wanita jatuh pengsan sejurus di samun sekumpulan penjenayah di sebuah kedai runcit di Kampung Dadong, Air Putih di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.40 petang, Rohani Soko, 46, tergamam apabila kepalanya diacu senjata menyerupai sepucuk pistol oleh salah seorang daripada tiga penyamun terbabit.
Suami mangsa, Rimen Soikeromo, 64, berkata, sewaktu kejadian isterinya sedang menjaga kedai runcit yang terletak di hadapan rumah mereka sambil mengupas bawang.
“Sewaktu kejadian, tiba-tiga tiga lelaki yang memakai topeng muka muncul menyerbu masuk kedai runcit tersebut sebelum salah seorang daripada penyamun itu mengacu senjata menyerupai pistol ke kepala isteri saya.
“Dua lagi penjenayah termasuk seorang yang memegang parang pula merampas telefon bimbit dan gelang tangan milik isteri saya, dua kotak pemetik api dan tabung derma yang mengandungi wang tunai,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di sini hari ini. – K! ONLINE









