BARU-BARU ini, Malaysia telah diberikan pengiktirafan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai negara pertama di Rantau Pasifik Barat yang berjaya memperoleh persijilan validasi eliminasi jangkitan HIV dan sifilis daripada ibu ke anak. Pengiktirafan yang diberikan itu menandakan Malaysia telah mencapai satu tahap pemberian perkhidmatan kesihatan yang amat membanggakan apabila jangkitan HIV dan sifilis melalui transmisi ibu ke anak tidak lagi menjadi ancaman kesihatan awam yang utama. Bagi mengetahui apakah kriteria yang diukur sehingga membolehkan Malaysia memperoleh pengiktirafan tersebut, ikuti temu bual yang diatur oleh wartawan Kosmo! Ahad, MOHAMMAD SHAHEMY AZMI, bersama Dr. Anita Suleiman, Ketua Sektor HIV/STI/Hepatitis C, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Boleh Dr. jelaskan fungsi Sektor HIV/STI/Hepatitis C di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)?
ANITA: Sektor HIV/STI telah diwujudkan di bawah KKM sejak tahun 1992 atas mandat kerajaan sebagai sektor yang bertanggungjawab terhadap semua program pencegahan dan kawalan penyakit HIV dan penyakit tularan seks (STI) di seluruh negara. Antara fungsi sektor ini adalah membangun polisi berkaitan HIV/STI, merangka Pelan Strategi Kebangsaan bagi menangani HIV/STI, memantau pelaksanaan pelan tindakan serta evaluasi penyakit HIV/STI. Respons awal terhadap HIV telah bermula sebelum penyakit ini dikesan di Malaysia di mana HIV/AIDS atau kematian yang disebabkan HIV dan AIDS telah dimasukkan sebagai penyakit yang wajib dinotifikasi di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1986 serta saringan terhadap penderma organ dan penderma darah. Sejak awal tahun 1990-an, KKM telah melaksanakan secara meluas program saringan HIV di penjara dan pusat serenti, saringan dalam kalangan pekerja seks, pesakit tibi dan STI. Program pengesanan awal HIV ini terus dikembangkan kepada ibu mengandung pada tahun 1997 bertujuan untuk mengekang penularan HIV dari ibu ke anak dan juga bakal pengantin pada tahun 2010.
Baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia telah menjadi negara pertama di Rantau Pasifik Barat yang bebas daripada jangkitan HIV dan sifilis daripada ibu ke anak. Boleh Dr. jelaskan dengan lebih terperinci tentang kenyataan tersebut?
Pada 8 Oktober 2018, Malaysia telah melakar sejarah sebagai negara pertama di Rantau Pasifik Barat yang berjaya memperoleh persijilan validasi eliminasi jangkitan HIV dan sifilis daripada ibu ke anak. Sijil eliminasi tersebut telah diserahkan oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom kepada Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Dzulkefly Ahmad di Manila, Filipina sempena Mesyuarat Jawatankuasa serantau WHO bagi Asia-Pasifik. Mencapai status eliminasi itu bukan bermakna negara bebas daripada HIV dan sifilis, tetapi jangkitan ini tidak lagi menjadi ancaman utama kesihatan awam.
WHO telah menetapkan beberapa kriteria yang meliputi indikator-indikator eliminasi di mana Malaysia telah mencapai kesemua indikator tersebut. Antara indikator yang dinilai adalah, sesebuah negara itu perlu menunjukkan bahawa kadar jangkitan HIV dan sifilis antara ibu ke anak tidak lebih daripada dua peratus. Yang kedua adalah, kes jangkitan HIV baharu terhadap bayi tidak lebih daripada 50 kes bagi setiap 100,000 kelahiran hidup, manakala indikator ketiga ialah memastikan tidak lebih 50 kes sifilis bagi setiap 100,000 kelahiran hidup. Jangkitan HIV melalui transmisi ibu ke anak adalah merupakan penyebab utama jangkitan HIV dalam kalangan kanak-kanak. Tanpa intervensi, antara 30 peratus hingga 45 peratus kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang disahkan positif HIV akan mendapat jangkitan semasa di dalam kandungan, semasa proses kelahiran atau melalui penyusuan ibu.
Bagaimana dapatan tersebut diperoleh dan ditentukan?
Indikator-indikator tersebut diperoleh daripada sistem pemantauan program Pencegahan Jangkitan HIV dan Sifilis dari Ibu ke Anak (PMTCT) serta program Antenatal yang telah dikumpul sejak tahun 1998. Namun, ia perlu diperkukuh dengan maklumat serta dapatan daripada kajian-kajian sedia ada dan kajian-kajian baharu yang telah dilaksanakan di antara tahun 2017 sehingga 2018. Di samping itu, kita juga menggunakan kaedah-kaedah triangulasi data serta melakukan anggaran dan perlunjuran data (estimations and projections) menggunakan pakej tertentu bagi membandingkan dapatan tersebut dengan maklumat daripada sistem pemantauan program.
Secara ringkasnya, untuk mendatangkan bukti eleminasi itu bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi memerlukan gabungan kepakaran khususnya dalam bidang epidemiologi penyakit, modelling penyakit, klinikal, kualiti makmal serta hak asasi manusia (human right).
Apakah langkah atau program yang dilakukan sehingga Malaysia memperoleh kejayaan tersebut?
Malaysia adalah antara negara terawal di dunia yang telah melaksanakan Program Pencegahan Jangkitan melalui transmisi ibu ke anak (Prevention of Mother to Child Transmission- PMTCT) bagi HIV dan sifilis. PMTCT sifilis mula dilaksanakan secara meluas pada tahun 1998. PMTCT HIV dan sifilis ini menyediakan ujian saringan HIV dan sifilis universal kepada semua ibu mengandung. Untuk mencegan sifilsi kongenital, ibu yang dijangkiti sifilis akan diberikan rawatan suntikan penicillin. Ibu yang dijangkiti HIV pula akan diberikan rawatan profilaksis. Bagi memastikan bayi terus dilindungi daripada jangkitan HIV menerusi penyusuan ibu, KKM juga turut memberikan susu formula gantian susu ibu secara percuma untuk tempoh dua tahun. Bagi ibu yang masih mempunyai aras virus yang rendah, mereka boleh bersalin secara normal. Tetapi jika aras virus masih tinggi, mereka dinasihatkan menjalani pembedahan secara caesarean bagi mengurangkan risiko penularan kepada bayi ketika proses kelahiran. Justeru, amatlah penting untuk ibu mengandung mengetahui status jangkitan di peringkat awal kandungan dan mematuhi rawatan jika dijangkiti HIV atau sifilis. Oleh itu, para ibu dinasihatkan datang awal untuk pemeriksaan antinatal di mana-mana fasiliti kesihatan.
Berapakah jumlah negara yang termasuk dalam Rantau Pasifik Barat?
Selain Malaysia, terdapat 36 buah negara lain yang membentuk Rantau Pasifik Barat termasuklah Singapura, New Zealand, Australia, China, Jepun dan Hong Kong. Sebenarnya saya yakin, negara-negara seperti Singapura, Jepun dan Australia misalnya telah pun mencapai eliminasi yang ditetapkan tetapi mereka tidak sampai ke tahap untuk mendapatkan persijilan kerana usaha untuk mendapatkannya bukanlah sesuatu yang mudah. Malaysia sendiri mengambil masa selama satu setengah tahun untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut.
Secara menyeluruh, berapakah jumlah statistik penghidap HIV di Malaysia pada hari ini. Daripada jumlah itu, berapakah jumlah pesakit yang terdiri dalam kalangan wanita/ibu?
Sehingga tahun 2017, jumlah penghidap HIV/AIDS yang masih hidup di Malaysia adalah seramai 72,399 orang. Daripada jumlah tersebut, majoriti penghidap adalah dalam kalangan lelaki yang menyumbang sebanyak 86 peratus, manakala wanita pula menyumbang sebanyak 14 peratus. Saya boleh katakan bahawa, anggaran atau purata penghidap HIV dalam kalangan ibu mengandung adalah sekitar 300 orang setiap tahun dengan kadar jangkitan antara 0.05 hingga 0.07 peratus.
Bagaimana pihak KKM ingin memastikan bahawa kejayaan yang dicapai ini akan berterusan pada masa akan datang?
Program yang dijalankan pada hari ini perlu dilaksanakan secara berterusan di samping memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada bagi memastikan setiap ibu mengandung di Malaysia mendapat perkhidmatan jagaan ibu dan anak yang berkualiti. KKM akan terus menyediakan perkhidmatan saringan HIV kepada semua bakal pengantin tidak kira agama dan bangsa. Adalah diharapkan pihak media dapat membantu meningkatkan kesedaran umum mengenai HIV dan sifilis serta keperluan mendapatkan rawatan sebelum merancang kehamilan.
Pendidikan kesihatan mengenai HIV dan sifilis juga perlu sampai kepada golongan remaja yang berisiko yang seperti kehamilan luar nikah. Sasaran KKM sekarang adalah untuk memastikan remaja yang hamil luar nikah atau golongan ibu muda yang berisiko dijangkiti tampil untuk mendapatkan rawatan jagaan khusus. KKM juga ingin membendung stigma atau diskriminasi terhadap kumpulkan-kumpulan tertentu bagi meneruskan eliminasi ini selain setiap anggota kesihatan perlu sentiasa melengkapkan diri mereka dengan maklumat mengenai HIV dan sifilis untuk membantu wanita hamil terutamanya tentang kepatuhan rawatan.










