Wanita derita sakit buah pinggang - Utusan Malaysia

Wanita derita sakit buah pinggang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN 21 Okt. – Bekas pengurus sebuah restoran makanan segera di daerah ini menderita penyakit buah pinggang sejak awal tahun ini menyebabkannya tidak berupaya untuk ber­kerja.

Norhayati Selamat, 32, kini terpaksa menjalani rawatan di sebuah pusat hemodialisis di Taman Megah di sini yang jaraknya kira-kira 70 kilometer pergi dan balik dari rumahnya di Kampung Tanjung Piai.

Dia kini tinggal bersama ibu mertuanya, Suriyati Saadon, 48, dan suaminya, Syamsul Iqmal, 26, yang bekerja sebagai pemandu bot untuk sebuah syarikat pembinaan di Tanjung Piai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Norhayati tidak mampu melakukan pekerjaan kerana keadaan dirinya yang mudah merasa letih selain kedua-dua­ kakinya membengkak dan menyebabkannya sukar untuk bergerak.

“Saya reda dengan ketentuan ini. Ibu saya meninggal dunia pada tahun lalu juga disebabkan penyakit buah pinggang yang dihidapnya,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Dr. Mohd. Isa Isamil di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tanjung Piai, Syahruzaman Ibrahim dan Noor Azmeen Ahmad.

Selepas menghidap penyakit tersebut, Norhayati bimbang akan mengalami nasib yang sama seperti ibu kandungnya dan berharap dapat berusaha mengatasinya.

Dia bersyukur dan berterima kasih kepada ibu mertua kerana menjaganya serta menghantar ke pusat hemodia­lisis seminggu dua kali yang di­biayai oleh pihak Baitumal Negeri Johor.

Sementara itu, Suriyati berharap penyakit yang dihidap menantunya cepat sembuh dan membolehkannya melakukan tugas seharian sepertimana sebelum ini.

Dia sanggup menghantar dan menemani menantunya walaupun proses rawatan kadang-kala mengambil masa berjam-jam dan biasanya keluar pada awal pagi untuk ke pusat itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini