KUALA LUMPUR 1 Okt. – Walaupun sudah tiga kali diserbu pihak berkuasa kerana disyaki menjadi sarang pengedaran dadah tahun ini, sebuah pusat hiburan di Dang Wangi di sini tidak serik malah diserbu buat kali keempat Jumaat lalu.
Video oleh NUR NAZLINA NADZARI
Operasi yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bersama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan D7 Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu turut menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan nilai rampasan keseluruhan RM230,000.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, dalam serbuan selama dua jam bermula pukul 2.30 pagi pihaknya menahan 34 warga tempatan berusia 16 hingga 54 tahun termasuk dua ahli sindiket di pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen itu.
“Serbuan dibuat di pusat hiburan terbabit disyaki melakukan kegiatan pengedaran dadah. Kita menemukan stor khas dan sebuah kenderaan digunakan untuk menyimpan, mengedar botol air serta peket minuman pelbagai jenama disyaki dicampur dadah.
“Seramai 32 orang ditahan reman selama dua hari bermula Jumaat lalu di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala dua lagi direman tujuh hari mengikut Seksyen 39(2) akta sama sehingga Khamis ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Mohmad, antara dadah dirampas adalah 181 botol minuman disyaki mengandungi methamphetamine, 408 peket serbuk minuman disyaki methamphetamine, satu peket disyaki dadah ketamin kira-kira 243 gram, satu peket disyaki methamphetamine (0.84 gram) dan 60 batang rokok disyaki mengandungi ganja.
Dalam serbuan berasingan, beliau berkata, polis turut melakukan pemeriksaan terhadap 56 warga asing dengan 10 orang iaitu tujuh lelaki warga Bangladesh dan tiga wanita warga Indonesia ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Kesemua mereka ini ditahan reman di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” ujarnya.
Tambah beliau, premis terbabit di sita dalam operasi yang dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabtu lalu.











