KLANG 1 Okt. – Kakitangan Bank of China yang beroperasi di Menara Empire, di sini, berdepan detik cemas apabila ribut dan hujan lebat yang melanda daerah Klang, petang ini, ‘menggoncangkan’ pejabat mereka sehingga sebahagian dinding cermin turut pecah dan runtuh.
Kejadian mencemaskan kira-kira pukul 2 petang itu bagaimanapun tidak mendatangkan kecederaan kepada kakitangan bank berkenaan apabila mereka bertindak cepat mengosongkan pejabat bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.
Dalam pada itu, seorang kakitangan bank berkenaan sempat merakamkan detik-detik cemas keadaan pejabatnya yang berselerak dan sebahagian dinding runtuh ketika dia meminta semua rakan sekerjanya keluar menyelamatkan diri.
“Semua turun, semua turun, jangan fikirkan (pasal kerja) bahaya. Ini keadaan pejabat aku (dinding runtuh), angin kuat sebentar tadi dan masih lagi… Allahu akbar, semoga tiada apa-apalah,” katanya dalam rakaman tersebut yang kemudiannya tular.
Pengalaman serupa turut dikongsikan seorang pengguna Facebook yang menetap di Sungai Pinang, Klang, Liya Joeshah, apabila memberitahu dia berdepan pengalaman menyeramkan.
“Klang (dilanda) ribut taufan, bumbung tercabut, pokok tumbang dan angin kuat,” katanya.
Dalam pada itu, menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, pihaknya tidak putus-putus menerima panggilan daripada orang awam yang melaporkan kejadian pokok tumbang, bumbung runtuh dan kenderaan rosak.
“Panggilan pertama diterima kira-kira jam 2.28 petang tadi dan sehingga kini kami masih lagi menerima panggilan yang melaporkan kejadian pokok tumbang dan bangunan serta kenderaan rosak akibat ribut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintenden Azman Shari’at memaklumkan, walaupun banyak kerosakan berlaku akibat ribut tersebut tetapi sehingga lewat petang ini tiada sebarang laporan kecederaan diterima.
Jelasnya, pihak trafik dengan kerjasama beberapa pihak berkuasa lain ketika ini sedang berusaha untuk memulihkan kembali keadaan trafik yang terjejas teruk akibat pokok tumbang dan kenderaan rosak.











