[VIDEO] Giliran Rosmah 
tidur di lokap SPRM - Utusan Malaysia

[VIDEO] Giliran Rosmah 
tidur di lokap SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 3 Okt. – Selepas tiga kali hadir ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini bagi memberi keterangan, isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akhirnya ditahan untuk proses pendakwaan esok.

Beliau akan bermalam di lokap SPRM sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 8 pagi esok untuk pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.


Video oleh HAKIMI ISMAIL

Difahamkan, beliau akan menghadapi 17 pertuduhan an­taranya melibatkan pengubahan wang haram.

Dalam pada itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SPRM, Rosmah ditahan berhubung siasatan pengubahan wang haram pada pukul 3.20 petang ini selepas pihaknya mendapat izin untuk mendakwa isteri bekas Perdana Menteri itu daripada Pejabat Peguam Negara.

“Rosmah akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah AMLATFPUAA 2001 dan akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 8 pagi esok,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Rosmah menerima notis yang memerintahkannya hadir ke Ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan dan beliau dilihat tiba di bangunan suruhanjaya tersebut pada pukul 10.42 pagi dengan menaiki kereta jenis Proton Perdana

Sejurus tiba, Rosmah yang memakai baju kurung dan berselendang berwarna hijau muda terus memasuki Ibu pejabat SPRM sambil ditemani peguam­nya Datuk K. Kumaraendran yang tiba lebih awal iaitu pada pukul 10 pagi.

Kali terakhir Rosmah hadir ke Ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan ialah pada 26 September lalu dan disoal siasat hampir 13 jam.

Sebelum itu pada 5 Jun, beliau turut disoal siasat lebih lima jam berhubung kes SRC International Sdn. Bhd. dan pengubahan wang haram.

Sebelum ini, media melapor­kan Rosmah mungkin berhadapan sehingga 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.

Sementara itu, Kumaraendran ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya tidak dimaklumkan jumlah pertuduhan akan dikenakan ke atas Rosmah dan memaklumkan anak guam­nya itu ditahan selepas selesai memberi keterangan.

“Saya dimaklumkan mengenai penahanan Rosmah namun tidak diberitahu beliau ditahan di lokap mana, yang saya tahu ialah beliau akan dibawa ke mahkamah esok untuk pertuduhan. Sekarang dia (Rosmah) dalam keadaan baik,” katanya.

Pada 19 September lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut ditahan di lokap SPRM sebelum didakwa keesokannya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×