[VIDEO] CB250R idaman ramai - Utusan Malaysia

[VIDEO] CB250R idaman ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Konsep Neo Sports Cafe yang diperkenalkan oleh Honda berjaya membawa wajah baharu kepada motosikal berkuasa tinggi sedia ada dalam pasaran.

Dengan gabungan retro dan sport naked, kelainan tersebut seolah-olah mencetuskan gaya artistik dalam reka bentuk jentera dua roda. Namun pada masa sama tidak menjejaskan prestasi serta kuasa enjinnya. Antara model yang dihasilkan menerusi konsep ini adalah CB250R yang ditunggang uji pada kali ini.

Unik

Apa yang ketara sepanjang menunggang uji CB250R adalah ia sentiasa mendapat perhatian ramai. Dari jauh, lampu depan utama diod pemancar cahaya (LED) berbentuk ladam kuda sudah membuatkan ramai tertanya-tanya, motosikal jenis apakah yang sedang menghampiri? Dan apabila sudah berada di depan mata, mereka menjadi lebih musykil kerana lampu depan utama berbentuk bulat seperti cafe racer tetapi badannya sebuah jentera naked. Jus­teru, tidak hairanlah CB250R nampak sangat berbeza.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mungkin juga disebabkan terlalu teruja, beberapa kali penulis diekori oleh penunggang yang semata-mata mahu melihat dari dekat model ini. Tidak cukup dengan mengekori, di lampu isyarat merah pun tidak henti-henti menjeling.

Selesa

Bukan sekadar reka bentuk, CB250R turut memberi penekanan kepada keselesaan penunggang. CB250R mempunyai casis yang sporty mengikut ergonomik penunggang, sesuai untuk semua saiz penunggang tidak kira besar atau kecil. Bentuk tangki bahan apinya pula membolehkan penunggang me­ngepit kedua-dua paha pada­nya, satu kelebihan buat mereka yang tinggi.

Selain itu, dengan berat 145 kilogram (kg), ia memudahkan pengendalian dalam pelbagai keadaan. Sehubungan itu, bagi newbie atau mereka yang baru upgrade dari enjin berkapasiti rendah misalnya 125 cc, tidak perlu mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri.

Lincah

Bagi yang sukakan kelajuan ekstrem, jentera ini mungkin tidak mampu memenuhi impian mereka. Dengan kapasiti 249 cc, kuasa maksimum yang dihasilkan adalah 27 kuasa kuda (hp) pada 9,000 rpm de­ngan daya kilas maksimum 23.3 Nm semasa 8,000 rpm, ia boleh dikatakan masih kurang laju buat kaki pecut. Bagi mereka yang sering beranggapan kapasiti enjin memainkan peranan penting untuk ke­puasan menunggang, tolong jangan pandang rendah ke­upayaan CB250R.

Penulis sendiri kagum de­ngan kemampuan jentera ini semasa menempuh laluan mencabar dari Hulu Yam ke Batang Kali seterusnya Gohtong Jaya. Cukup menyeronokkan! Mungkin kuasa yang dihasilkan tidak sehebat motosikal yang mempunyai cc lebih besar lain, tetapi percayalah, jentera ini cukup lincah meliang-liuk ke kiri, ke kanan ‘melayan’ selekoh-selekoh pendek dan tajam. ‘Baringlah’ seberani mungkin. Cukup stabil dan meyakinkan dengan tayar depan dan belakang bersaiz 17 inci.

Di lebuh raya pun sama juga, cukup lincah. Ditambah adanya sistem brek antikekunci (ABS), semakin yakin untuk berdepan saat mencemaskan jika berlaku.

Di dalam bandar pula, ia se­nang mencelah di antara deretan kenderaan berikutan saiz­nya yang ‘cilik’.

Pakej menarik

CB250R didatangkan dalam tiga warna iaitu perak (Matt Bullet Silver), hitam (Graphite Black) dan merah (Candy Chromosphere Red) pada harga RM22,999 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew) menawarkan wa­ranti pengeluaran selama dua tahun atau 20,000 kilometer (mana yang dahulu).

Untuk maklumat lanjut boleh berkunjung ke mana-mana pe­ngedar sah Boon Siew atau hubungi 1-800-88-3993 atau layari www.hondabigbike.com.my.

ENJIN & PRESTASI

Sesaran: 249 cc
Kuasa maksimum: 27 hp
Saiz tangki bahan api: 10 liter
Jumlah silinder: 1
Daya kilas maksimum: 23 Nm
Jenis enjin: Silinder tunggal, 4-lejang, penyejuk cecair, DOHC

DIMENSI

Panjang: 2,020 mm
Kelegaan lantai: 151 mm
Tinggi: 1,050 mm
Tapak roda: 1,355 mm
Berat basah: 145 kg

CASIS & SUSPENSI

Belakang: Monoshock
Depan: USD fork

RODA & TAYAR

Jenis tayar: Jejarian, tanpa tiub
Saiz roda depan: R17
Saiz roda belakang: R17
Tayar depan: 110/70 R17
Tayar belakang: 150/60 R17

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini