PUTRAJAYA 12 Okt. – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menjelaskan lebih terperinci berhubung tujuh perkara yang menjadi skop siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Walau bagaimanapun, Ahmad Zahid yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk enggan mengulas lanjut tentang tujuh perkara tersebut.
Video Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
Menurutnya, hari ini merupakan kali terakhir beliau dipanggil memberikan keterangan kepada SPRM setelah lima kali berbuat demikian.
“Saya bersedia datang semula untuk memberi keterangan kepada SPRM sekiranya maklumat itu tidak memenuhi keperluan siasatan.
“Ini tindakan yang tidak boleh diketepikan bagi orang awam yang dipanggil untuk memberikan keterangan kepada SPRM,” katanya dalam sidang akhbar sejurus selesai memberikan keterangan kepada SPRM di sini hari ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut mengucapkan terima kasih kepada SPRM khususnya Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dan pegawai kanan yang memberi kerjasama penuh profesional.
Terdahulu, beliau memberikan keterangan selama lebih tujuh jam kepada SPRM.
Semalam dan kelmarin, Ahmad Zahid telah dipanggil memberi keterangan masing-masing selama lapan dan sembilan jam selain untuk kali pertama dan kedua pada 2 dan 3 Julai lalu.
Beliau dipercayai memberi keterangan kepada SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana membabitkan yayasan milik keluarganya iaitu Yayasan Akal Budi.
Selain Ahmad Zahid, turut dipanggil memberikan keterangan ialah anak sulungnya, Datuk Nurulhidayah dan adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi @ Hamidi.











