SEREMBAN 23 Okt. – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus komited membantu usaha memerangi penyalahgunaan dadah di negara ini menerusi penganjuran Seminar Pencegahan Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan 2018 (Prevent 2018).
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, menjadi tanggungjawab USIM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang menempatkan ramai golongan belia untuk memperkasakan pencegahan yang strategik dan pemulihan holistik.
“Seminar kali ke-12 anjuran USIM ini melibatkan hampir 400 peserta yang terdiri daripada pelajar, kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) serta beberapa agensi berkaitan.
“Secara amnya, seminar ini memberi fokus terhadap pemerkasaan pencegahan dadah dalam komuniti selain menyediakan beberapa pendekatan utama bagi membanteras penyalahgunaannya,” katanya ketika merasmikan seminar tersebut, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Musa berkata, seminar tiga hari bermula semalam yang bertemakan ‘Komuniti Kita Tanggungjawab Kita’ itu turut melibatkan aktiviti luar menerusi ‘Empowering Youth for Drug Free Community’ (EYDFC) dalam kalangan komuniti setempat.
Aktiviti EYDFC akan melibatkan pelajar dan guru dari beberapa buah sekolah sekitar Nilai, Pusat Keusahawanan Pelajar USIM, Kolej Universiti KPJ serta pelatih Pondok Inabah di Labu.
Dalam majlis sama, Musa turut melancarkan buku Panduan Pelaksanaan Kaunseling Intervensi Murid di Sekolah khusus kepada guru bagi membantu keberkesanan program intervensi pemulihan dadah dalam kalangan murid di sekolah.











