SHAH ALAM 24 Okt. – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama melaksanakan Rangka Kerja Bandar Raya Rendah Karbon (LCCF) dan berjaya mengurangkan penghasilan karbon dioksida tertinggi sebanyak 3,468.01 tan atau bersamaan 6.15 peratus.
Kejayaan itu membolehkan MBSA menerima Diamond Recognition untuk projek Pengukuran Karbon Pusat Bandar yang terletak di Seksyen 14 di sini.
Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi MBSA, Shahrin Ahmad berkata, anugerah tersebut dianjurkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar dengan kerjasama Malaysian Green Technology Corporation.
Menurutnya, pengiktirafan itu diberikan kepada MBSA berdasarkan keputusan pengukuran karbon yang dibuat menggunakan dasar 2015 sehingga 2017.
“Pengiktirafan satu Diamond iaitu tahap pencapaian Best Practice 1 merupakan satu keputusan membanggakan kerana tiada lagi PBT yang menggunapakai Pendekatan Asas Bandar untuk mengukur tahap karbon bagi kawasan yang telah dipilih di bawah program LCCF.
“Anugerah yang diberikan ini adalah atas usaha berterusan MBSA yang sentiasa komited dalam melaksanakan inisiatif hijau ke arah pembangunan yang mampan dan rendah karbon di Shah Alam khususnya melalui program-program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, Shah Alam Trees For Life, penggunaan lampu solar dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Anugerah tersebut disampaikan semasa International GreenTech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia 2018 dari 17 hingga 20 Oktober lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Ia disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Kanan, Sektor Teknologi Hijau, Asdirhyme Abdul Rasib kepada Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad. – UTUSAN ONLINE










