KUALA LUMPUR 4 Sept. – Kematian enam anggota bomba dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Cyberjaya dekat sini malam semalam turut memberi tamparan hebat kepada aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng.
Kesedihan yang teramat dirasakan oleh Chee Heng itu disebabkan hubungan sebagai guru dan murid yang terjalin sewaktu dia menjalani latihan menyelamat bagi sukarelawan bomba yang dibimbing oleh Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA).
Chee Heng yang juga dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, dia juga kerap menjalankan kerjasama dengan PPDA tersebut sewaktu mereka menjalankan operasi menyelamat di sekitar Putra Perdana.
“Cikgu, kau pergi tanpa pesan, Takziah kepada semua pegawai bomba yang gugur semasa operasi menyelamat. Namamu tersemat di hati kami. Kamu adalah wira negara,” katanya dalam hantaran Facebook beliau pagi tadi.
Dalam masa sama, Uncle Kentang turut mengajak semua rakyat Malaysia menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga wira-wira negara berkenaan.
Beliau mencadangkan agar diwujudkan sebuah tabung bomba bagi membolehkan derma disalurkan, malah sebagai permulaan, Kuan Cheng telah mendermakan RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban.
“Sumbangan kecil yang kita sampaikan untuk keluarga mangsa adalah tanda penghargaan rakyat kepada jasa-jasa yang mereka taburkan,” kata beliau kepada Utusan Online ketika dihubungi pagi tadi.
Chee Heng juga mencadangkan agar kerajaan memberikan keluarga mangsa sebuah rumah; bantuan biasiswa pelajaran; bantuan modal perniagaan tidak kurang RM100,000; bantuan kenderaan dan penyelesaian hutang mangsa.
Beliau menjelaskan, semua itu akan dapat meringankan beban hidup setiap keluarga mangsa.
“Itulah yang sepatutnya dilakukan pemerintah sebagai sebuah kerajaan prihatin. Jangan seekali kali kata tidak ada wang dan biarkan keluarga wira-wira ini merana,” katanya. – UTUSAN ONLINE











