PULAU PINANG 1 Okt. – UMNO Pulau Pinang mengambil perhatian serius terhadap tujuh teras dan 21 langkah yang digariskan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke arah memulihkan semula parti berkenaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, UMNO negeri ini akan memainkan peranan proaktif dan agresif dalam bersama-sama memastikan hasrat Ahmad Zahid itu menjadi kenyataan.
Ujar beliau, antara langkah awal yang akan diambil adalah menggerakkan semua pemimpin bahagiannya untuk turun padang dan berjumpa ahli-ahli UMNO.
Menurutnya, perjumpaan dengan ahli-ahli UMNO itu penting dalam usaha memulihkan dan menaikkan semula semangat mereka supaya terus kekal berjuang bersama parti.
“Kita juga akan mengadakan program bersama ahli-ahli UMNO untuk merangka perjalanan parti yang lebih jelas selepas ini termasuk mengenal pasti punca kekalahan dan langkah yang perlu diambil untuk memulihkan parti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam berkata, UMNO Pulau Pinang memikul tanggungjawab lebih besar dalam peranan memulihkan parti itu kerana sudah bergelar pembangkang di negeri ini sejak lebih 10 tahun lalu.
Katanya, sepanjang tempoh itu, UMNO Pulau Pinang telah memainkan peranan berkesan sebagai pembangkang yang kuat dan mampu memberi tekanan kepada dasar dan polisi pemerintahan lebih adil oleh kerajaan negeri.
“Lebih daripada itu, UMNO Pulau Pinang juga kekal sebagai parti yang menjadi harapan kepada rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam dalam membela nasib serta kepentingan mereka meskipun kita merupakan pembangkang di negeri ini,” katanya.










