Tun M, Anwar berkongsi pentas selepas 20 tahun - Utusan Malaysia

Tun M, Anwar berkongsi pentas selepas 20 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Selepas 20 tahun, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kembali berkongsi pentas dengan rakan yang juga musuh politik beliau sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah mega di pekarangan Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) di PD Waterfront di sini sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson malam tadi.

Anwar yang merupakan calon PH bagi pilihan raya tersebut dalam ucapannya berkata, program berkenaan merupakan kali pertama beliau berucap dalam satu pentas bersama Dr. Mahathir selepas satu tempoh yang begitu lama.

“Gandingan kami antara yang bersejarah, saya berkhidmat dengan Tun Mahathir, bawah pengawasan dan bimbingan beliau sehingga saya menjadiTimbalan Perdana Menteri, satu gandingan yang luar biasa mantapnya.

“Saya berjumpa semula dengan Tun Mahathir selepas 18 tahin di mahkamah dan saya terkesan bagaimana seorang negarawan boleh melupakan semua masalah yang berlalu. Saya mahu bersama beliau melihat ke hadapan,” katanya.

Lebih 6,000 orang menghadiri ceramah berkenaan yang diadakan dalam keadaan hujan renyai dan kebanyakan mereka setia mendengar ceramah yang disampaikan barisan pimpinan tertinggi PH termasuk Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sehingga majlis berakhir kira-kira pukul 11.30 malam.

Sementara itu, Mahathir dalam ucapannya berkata, beliau berharap dengan adanya PRK Port Dickson ini, kemenangan dapat diberikan kepada PH yang diwakili Anwar.

“Saya berharap Anwar terus bekerja bukan untuk beliau (Anwar), bukan untuk Mahathir, Mohamad Sabu atau Lim Guan Eng tetapi, bekerja untuk negara disayangi, rakyat Malaysia yang memberi peluang kepada PH mengambil alih kerajaan,” katanya sebelum mengakhiri ucapan hampir 30 minit. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN