PUCHONG – Usaha mengesan seorang remaja lelaki yang dipercayai lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana di sini sejak pagi tadi diteruskan dengan menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9).
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, dua ekor anjing pengesan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digunakan bagi mempercepatkan pencarian.
“Kami telah menurunkan seekor anjing di lokasi kejadian dengan menggunakan sebuah bot JBPM sementara seekor lagi sebagai tambahan.
“Unit K9 digunakan bagi usaha mengesan mayat terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi seperti sungai yang mempunyai aliran deras.
“Pasukan Penyelam Polis Marin kini sedang berehat sebentar sementara usaha pencarian diteruskan dengan anjing pengesan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di Taman Putra Perdana hari ini.
Beliau menambah, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) akan menjalankan pencarian di kawasan air yang tenang kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
Dron juga turut digunakan dalam operasi mengesan mangsa lemas.“Pasukan penyelam bomba juga akan datang ke tempat kejadian untuk membantu operasi pencarian.
“Kami turut menggunakan dron untuk memantau kawasan berdekatan,” ujarnya.
Sebelum ini, operasi terpaksa dihentikan kira-kira 12.45 tengah hari ekoran hujan lebat bagi mengelak risiko keselamatan terhadap pasukan keselamatan.
Operasi kemudian disambung semula kira-kira pukul 2 petang tadi. – K! ONLINE










