TPM harap lima jaguh dunia menyinar - Utusan Malaysia

TPM harap lima jaguh dunia menyinar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengharapkan lima atlet para negara yang bertaraf dunia agar dapat menyinar pada Sukan Para Asia di Jakarta dari 6 hingga 13 Oktober ini.

Beliau yang tampil bersemangat menyerahkan sendiri Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di Kompleks Kecemerlangan Paralimpik Kg. Pandan di sini hari ini berkata, adalah tidak mustahil bagi kelima-lima mereka menyumbangkan pingat emas dan seterusnya membantu negara mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Saya difahamkan bahawa bersama-sama dengan kontinjen Para kita pada kali ini akan dibarisi oleh beberapa jaguh atlet luar biasa kita yang kini berada di kedudukan ranking terbaik dunia ketika ini seperti Ridzuan Puzi, Abdul Latif Romly, Mohd. Ziyad Zolkifli (olahraga), Cheah Lek Hou (badminton) dan Jong Yee Khie (powerlifting).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk itu adalah tidak mustahil bagi anda semua untuk bukan sahaja menaiki podium malah dapat mencapai pingat emas buat negara di pentas Sukan Para Asia kali ini. Keyakinan ini berdasarkan persiapan rapi yang telah dilakukan oleh semua pihak sama ada pihak para atlet sendiri, jurulatih mahu pun persatuan-persatuan sukan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Sukan Para Asia 2018 kepada ketua kontinjen, Lee Sheng Chow di sini hari ini. Turut menyaksikan penye­rahan itu adalah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Tambah beliau, selain itu harapan tinggi diletakkan di bahu atlet muda untuk melonjakkan pungutan pingat ke ranking lebih baik.

“Saya dimaklumkan antara sukan yang dijangka mampu menyumbangkan pingat emas adalah olahraga, badminton, berbasikal, boling padang dan tenpin boling,” ujarnya.

Kontinjen negara yang dibarisi 139 atlet dijadual menyertai 15 daripada 18 jenis sukan yang dipertandingkan membabitkan 161 acara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini