KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menegaskan negara mempunyai alternatif lain bagi mendapatkan maklumat awal mengenai amaran tsunami, kata Ketua Pengarahnya, Alui Bahari.
Beliau berkata, stesen tolok pasang surut (tide gauge) yang mengukur perubahan paras laut untuk mengesan tsunami sudah ditempatkan di beberapa lokasi sejak 2006.
Menurutnya, pemasangan tolok pasang surut itu seiring dengan tiga boya tsunami yang ditempatkan di tiga lokasi perairan iaitu Laut Andaman, Laut Sulawesi dan Laut China Selatan.
“Sudah tentu kita mempunyai alternatif lain untuk mengesan tsunami sebelum mengambil keputusan untuk melupuskan tiga boya tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berhubung tiga boya laut bernilai kira-kira RM9 juta yang menggunakan teknologi dari Norway yang sepatutnya mencerap data dan menyalurkan maklumat awal mengenai amaran tsunami kini dilupuskan sepenuhnya kerana tidak lagi berfungsi. – Bernama










