TNB peruntuk RM349j - Utusan Malaysia

TNB peruntuk RM349j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI 30 Okt. – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan sebanyak RM349 juta bagi me­laksanakan 142 projek penambahbaikan sistem bekalan elek­trik di bandar raya ini dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­laburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, usaha itu bagi mengatasi masalah gangguan bekalan elektrik di kawasan itu selain menampung permintaan yang semakin me­ningkat oleh pihak industri.

Menurutnya, kerja-kerja pe­nambahbaikan itu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan dijang­ka siap pada Disember tahun depan.

“Daripada jumlah itu, seba­nyak 17 projek disasarkan bagi menambah baik sistem 33 kilovolt (kV) membabitkan peruntukan berjumlah RM229 juta, manakala baki 125 projek lagi adalah menambah baik sistem 11kV dengan kos sebanyak RM120 juta.

“Apabila siap semua kerja penambahbaikan ini menjelang 2020 diharap dua insiden gangguan bekalan tenaga yang pernah berlaku pada tahun lalu dan September lalu dapat diatasi,” katanya selepas merasmikan Senai Airport City Roadshow for Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) Members in Johor di Senai Business Aviation Terminal, di sini hari ini.

Wee Tse berkata, TNB juga sentiasa melaksanakan proses penyelenggaraan semua sistem mereka mengikut piawaian bagi mengelak berlaku insiden yang boleh mengakibatkan gangguan bekalan elektrik.

Pada tahun lalu, gangguan bekalan elektrik berlaku di sebahagian kawasan Skudai dan Johor Bahru sehingga mengakibatkan operasi perniagaan dua pasar raya besar ‘lumpuh’.

Sementara ribuan pengguna jalan raya di bandar raya ini terkandas apabila hampir semua lampu isyarat ‘rosak’ akibat tiada bekalan elektrik berikutan kerosakan di Pencawang Masuk Utama Johor Bahru City Center (JBCC) pada awal bulan lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN