Tidak perlu mohon maaf, Anwar sudah lama maafkan Mahathir - Utusan Malaysia

Tidak perlu mohon maaf, Anwar sudah lama maafkan Mahathir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau tidak pernah mengharapkan sebarang permohonan maaf daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad selama ini.

Malah Anwar mendedahkan beliau sudah lama memaafkan tindakan Perdana Menteri itu pada masa lalu.

“Saya tidak pernah meminta Dr. Mahathir memohon maaf malah saya sentiasa menegaskan bahawa saya berpuas hati dengan sikap dan kesediaan beliau untuk bekerjasama dengan kami. Lupakan kisah silam dan maju ke hadapan.

“Sebenarnya isu permohonan maaf ini adalah gesaan anda (media) dan bukannya saya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam majlis Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Ikon Kemerdekaan India, Mahatma Gandhi anjuran Pusat Kebudayaan India, Netaji Subash Chandra Bose di sini, hari ini.

Dr. Mahathir dalam satu wawancara khas bersama media antarabangsa, BBC hari ini mendakwa tidak pernah memohon maaf secara rasmi kepada Anwar.

Dr. Mahathir berkata, pihak lain yang membuat pelbagai andaian terhadapnya kerana mahu beliau meminta maaf ekoran tindakannya memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

Dalam wawancara sama, Dr. Mahathir berkata, beliau kesal apabila Anwar dipenjarakan tetapi dirinya tidak patut dipersalahkan kerana hukuman itu merupakan keputusan mahkamah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN