MELAKA – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menafikan terdapat penganjuran pesta bogel yang dikaitkan dengan satu rakaman video sekumpulan warga asing berseronok dalam keadaan berbogel di pesisir Sungai Melaka sehingga tular di Facebook kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Azlan Abidin berkata, pihaknya membuat laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Melaka Tengah di sini menjelaskan insiden tersebut berlaku disebabkan pelancong terbabit mabuk.
“Susulan klip video tersebut itu tular, pegawai kami telah ke premis berkenaan dan pemilik kafe memberitahu kumpulan yang dipercayai dari Eropah itu hanya melalui kawasan berkenaan.
“Bagaimanapun, mereka yang dalam keadaan mabuk mencabar antara satu sama lain untuk terjun ke dalam Sungai Melaka dan mula menanggalkan pakaian masing-masing,” katanya pada sidang akhbar di Dataran Sungai Melaka di sini hari ini.
Menurut Azlan, klip video itu dikesan dimuat naik dalam Facebook pada Sabtu lalu, namun mula tular hari ini sehingga pendapat perhatian pihaknya.
“Pihak kami tidak mengeluarkan apa-apa lesen dan memberi kebenaran kepada mana-mana penganjur mengadakan aktiviti seperti ini, malah kami dimaklumkan mengenai insiden ini selepas ia menjadi tular,” katanya.
Klip video berdurasi 15 saat yang dirakamkan oleh orang ramai itu memaparkan aksi lebih dua lelaki dalam keadaan berbogel sedang berseronok di kaki lima berhampiran sebuah kafe di pesisir Sungai Melaka.
Azlan berkata, beliau juga akan meminta kerjasama pihak perkuasa tempatan untuk meneliti semula lesen-lesen yang dikeluarkan dan memastikan semua pemilik kafe di sepanjang kaki lima Sungai Melaka mengikuti peraturan-peraturan ditetapkan. – K! ONLINE










