Tiada lagi alasan gagal ke Tokyo - Utusan Malaysia

Tiada lagi alasan gagal ke Tokyo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Roelant Oltmans cukup sinonim dalam arena hoki dunia kerana individu dari Belanda itu sering dianggap memiliki sentuhan magis.

Justeru, Malaysia tidak mempunyai alasan gagal melayakkan diri pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun selepas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengambil langkah drastik melantik Oltmans, 64, sebagai ketua jurulatih skuad hoki lelaki.

Pelantikan Oltmans yang pernah mengemudi skuad hoki lelaki Belanda menjuarai Sukan Olim­pik 1996 dan Piala Dunia 1998, diumumkan Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal dengan kontrak dua tahun berkuat kuasa semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bekas Ketua Jurulatih India dan Pakistan itu berdepan tugas sukar kerana dilihat kesuntukan masa menyiapkan pasukan terbaik menghadapi peringkat kelayakan Sukan Olimpik bermula tahun depan, namun beliau percaya ia sesuatu yang mampu dilakukan.

“Saya mahu melihat Malaysia layak ke Sukan Olimpik 2020 tetapi ia bukan perkara mudah kerana keseluruhan proses kelayakan yang rumit oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa. Jika saya tidak percaya ia mampu dilakukan, saya tidak akan berada di sini.

“Sasaran peribadi saya mudah iaitu memastikan perkembangan pasukan mencapai kualiti ter­tinggi. Keputusan mampu diraih jika berjaya meningkatkan kualiti setiap individu pemain dan pasukan.

“Saya memerlukan semua kemudahan disediakan dalam pakej yang lengkap untuk menyiapkan pasukan ke tahap maksimum. Jangan ganggu saya bekerja de­ngan barisan kejurulatihan ke­rana saya tahu apa perlu dilakukan,” kata Oltmans.

Oltmans berkata demikian pada sidang akhbar khas yang dipengerusikan Subahan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Pelantikan Oltmans menyaksikan ketua jurulatih sebelum ini, Stephen Van Huizen turun pangkat menjadi penolong jurulatih merangkap pengurus pasukan, sementara barisan kejurulatihan sedia ada tidak dirombak.

Bekas pengendali skuad wanita Belanda yang menjuarai Piala Dunia 1990 itu tidak bercadang merombak keseluruhan barisan pemain dan struktur pasukan kerana tempoh singkat sebelum menghadapi ujian pertama, Trofi Juara-Juara Asia di Oman dari 18 hingga 28 Oktober ini.

Selepas itu, beliau berdepan misi penting untuk memastikan Malaysian Tigers cemerlang pada Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India dari 28 November hingga 16 Disember agar memudahkan ‘laluan’ sewaktu pusingan kelayakan Sukan Olimpik tahun depan.

“Saya tidak jamin keputusan (positif) tetapi ia mampu diraih jika dapat meningkat ke tahap maksimum. Kami perlu pastikan segala kerja keras boleh tercapai.

“Ia harus bermula dengan pres­tasi baik di Piala Dunia 2018 untuk mendapatkan pungutan mata dalam ranking dunia, sekali gus memudahkan kami bertemu lawan mudah di peringkat kelayakan nanti,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini