TIADA istilah rehat buat Sabah selepas skuad Sang Badak itu berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia setelah menang ke atas Kelantan 1-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu kelmarin.
Jurulatih Sabah, Jelius Ating berkata, peringkat seterusnya dijangka memberi cabaran kepada wakil tunggal Liga Premier itu dalam merebut piala berprestij arena bola sepak negara.
Katanya, selepas hampir 10 tahun tidak beraksi di Piala Malaysia, beliau menggalas tugasan penting mempersiapkan skuad Sabah untuk layak ke pentas final Piala Malaysia.
“Kita amat bersyukur selepas begitu lama tidak bersaing dalam Piala Malaysia. Kita berjaya meletakkan diri hingga ke peringkat separuh akhir.
“Alang-alang kita sudah di sini, kami tekad mahu pergi sejauh mungkin untuk bersaing dalam Piala Malaysia hingga ke peringkat seterusnya,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan kelmarin.
Beliau yang optimis dengan kemampuan pemain berkata, anak-anak buahnya perlu tampil lebih yakin di padang kerana perlawanan seterusnya pasti memberi laluan sukar.
Pada perlawanan kelmarin, jaringan tunggal Rodoljub Paunovic pada minit ke-31 sudah cukup buat Sabah mara ke separuh akhir menerusi kelebihan gol di tempat lawan walaupun tewas 1-2 kepada Kelantan pada suku akhir pertama di Kota Bharu minggu lalu.











