SEPANG – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Sepang di sini hari ini mengalami sedikit ketegangan apabila para ahli terpaksa menunggu lama dan ada yang cuba memotong barisan.
Tinjauan Kosmo! mendapati lebih 2,000 ahli parti dari Dengkil, Sungai Pelek dan Tanjung Sepat sudah berada di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Sepang sejak pukul 8 pagi.
Walaupun sebanyak 70 kaunter pengundian telah dibuka namun tersebut tidak mampu menampung jumlah pengundi yang terpaksa menghabiskan masa selama enam minit untuk mengundi.
Ada di antara ahli parti yang terpaksa beratur diluar dewan itu kedengaran menjerit supaya proses pengundian dipercepatkan dan meminta tidak memotong barisan kerana ada di antara mereka terpaksa menunggu selama dua jam.
Menurut calon Ketua Cabang PKR, K. Sukumaran, jumlah petugas yang tidak mencukupi dan penjelasan terhadap sistem e-voting masih kurang terutama melibatkan golongan warga emas.
“Bagi yang celik teknologi maklumat mereka boleh siap mengundi dalam masa dua minit sahaja tetapi kalau orang yang tidak tahu mereka ambil masa antara lima hingga enam minit.
“Bagi saya kaedah pemilihan ini bagus tetapi masih perlu diperbaiki,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, calon Timbalan Ketua Cabang, Datuk Dr. Zaini Poniman berkata, pemilihan kali ini sangat berbeza dengan pemilihan yang lalu selepas parti itu berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 dan membentuk kerajaan.
“Sepatutnya jumlah kaunter diperbanyakkan mengikut saluran seperti yang dibuat pada pilihan raya, kasihan pada ramai golongan warga emas walaupun pada mulanya laluan khas di sediakan namun selepas itu orang muda pun gunakan laluan ini.
“Saya lihat peningkatan mendadak ini berlaku sebaik sahaja Pakatan Harapan berjaya menang dalam pipihan raya yang lepas,” ujar beliau. – K! ONLINE










