KUALA TERENGGANU 1 Okt. – Kerajaan Pas akan mula memperkenalkan sistem pengurusan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara digital menerusi portal e-Dewan dalam persidangan DUN pada 25 hingga 29 November depan.

Yang Dipertua DUN, Yahaya Ali berkata, pembaharuan itu bertujuan meningkatkan kecekapan mengurus dan mentadbir perjalanan DUN sekali gus menjimatkan masa selain menyahut seruan untuk mengurangkan penggunaan kertas.
Katanya, bagi peringkat permulaan, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan mengemukakan soalan secara atas talian dan tiada lagi kaedah lama menerusi surat.
“Selepas mendapat notis panggilan mesyuarat, ADUN perlu mengemukakan soalan dalam e-Dewan dan mereka boleh mengetahui sama ada soalan tersebut diterima atau ditolak menerusi e-Dewan.
“Hansard termasuk dalam sidang DUN lalu boleh diperoleh dengan mengakses sistem ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kursus Undang-Undang Tanah, Protokol dan Sistem e-Dewan kepada semua ADUN Terengganu di Hotel Primula di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Negara, Datuk Husin Awang yang juga anggota Jawatankuasa Penambahbaikan DUN Terengganu,
Terengganu merupakan negeri ketiga yang memperkenalkan e-Dewan selepas Selangor dan Perak,
Yahaya memberitahu, pihaknya akan memberi penerangan kepada ADUN pembangkang yang tidak berkesempatan menghadiri kursus e-Dewan berhubung pembaharuan tersebut.
Beliau berkata, kursus hari ini merupakan lanjutan daripada siri pertama pada Ogos lalu yang memberikan pendedahan terutama kepada ADUN-ADUN baharu dalam aspek pentadbiran negeri, hubungan dengan Pusat, hak dan keistimewaan mereka di samping perjalanan DUN agar mendapat kefahaman dan gambaran yang jelas.
“Selain e-Dewan kita turut dedahkan ADUN dengan kemahiran berkait soal pengurusan tanah di samping prosedur operasi standard (SOP) memandangkan mereka merupakan ahli Jawatankuasa Tanah Daerah,” katanya.-UTUSAN ONLINE











