SONGKLA 8 Okt. – Seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan bersenjata di selatan Thailand ditembak mati oleh anggota pasukan keselamatan negara itu selepas insiden berbalas tembak selama lima minit di daerah Thepa, Songkla awal pagi ini. Timbalan Ketua Polis Bahagian ke-9, Mejar Jeneral Phot Suaisuwan berkata lelaki yang terbunuh itu dikenali sebagai Madaud Semsan, 40, dan berasal dari Kampung Piya di Sabayoi, Songkla. “Dua lelaki lain turut ditangkap pasukan keselamatan sejurus selepas insiden itu,” katanya, dan menambah 100 anggota keselamatan Thai terlibat dalam operasi pengepungan terhadap sebuah rumah didiami suspek bermula 1 pagi waktu tempatan. Beliau berkata pasukan keselamatan turut menemui sepucuk pistol .38 bersama-sama mayat lelaki terbabit. Phot berkata Madaud memiliki waran tangkap dari Mahkamah Wilayah Songkla atas dakwaan terlibat dengan kejadian samun enam buah kenderaan daripada sebuah bilik pameran di daerah Nathavi pada tahun lepas. Tambah Phot, ada antara kenderaan dicuri itu kemudiannya dipasang dengan bahan letupan. – BERNAMA









