TANAH MERAH 5 Okt. – Proses pemilihan PKR Cabang Tanah Merah di Dewan Orang Ramai Kampung Bendang Nyior, di sini hari ini mendapat sambutan luar biasa daripada ahli-ahlinya.
Malah, ratusan ahli yang belum mengundi dilihat masih setia berbaris dalam kawasan pusat pengundian biarpun pagar utama lokasi tersebut ditutup tepat pukul 5 petang.
Rata-rata ahli ditemui Utusan Online menegaskan, mereka tetap tidak akan berganjak dan sabar menunggu giliran demi menjalankan tanggungjawab sebagai ahli parti.
Difahamkan, peratusan ahli yang keluar mengundi bagi cabang ini kali ini dianggarkan mencecah lebih 50 peratus.
Untuk rekod, jumlah ahli PKR Cabang Tanah Merah adalah seramai 2,754 orang.
Sementara itu, calon bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang, Datuk Mohd. Hanuzi Zaharim mempersoalkan pemilihan lokasi pusat pengundian yang dikatakan terpencil sehingga menyukarkan ahli untuk hadir.
“Selain lokasinya yang jauh, pusat pengundian juga sempit. Ahli terpaksa berhimpit-himpit dan kepanasan. Saya harap perkara ini ditambah baik dalam proses pemilihan pada masa akan datang.
“Bagaimanapun saya bersyukur proses kali ini berjalan lancar tanpa perkara tidak diingini,” katanya.
Terdahulu pada sebelah pagi, proses pemilihan PKR cabang ini kecoh apabila terdapat ahli hilang sabar berbaris dalam tempat sempit dan cuba merempuh masuk ke dalam Dewan Orang Ramai Kampung Bendang Nyior.
Tindakan pantas pihak pengurusan menukar sistem berbaris berjaya menenangkan ahli yang kepanasan sekali gus mengelak keadaan menjadi lebih tegang. – UTUSAN ONLINE










