IPOH 19 Okt. – Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu menyifatkan langkah mengehadkan tempoh perkhidmatan Menteri Besar kepada dua penggal tidak akan mengganggu komitmen kerajaan negeri dalam melaksanakan janji kepada rakyat.
Beliau berkata, kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) menjalankan tanggungjawab secara berpasukan dan bukannya daripada seorang pemimpin sahaja.
“Saya okey, komited dengan janji memegang jawatan menteri besar selama dua penggal, kita bukan bekerja berseorangan tetapi sebagai satu pasukan.
“Segala dasar perlu diteruskan sebagai satu pasukan dan bukannya daripada seseorang pemimpin. Pasukan ini yang akan meneruskan segala dasar-dasar dan polisi demi kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam peringkat negeri yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) semalam, menyatakan tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal. – UTUSAN ONLINE










