PENYANYI legenda tanah air, Datuk DJ Dave bakal membawa cabaran negara pada Kejohanan Badminton Senior Sedunia di Chengdu, China bermula 1 hingga 4 November depan.
Kehebatan beliau bukan sahaja boleh dilihat di pentas nyanyian, malah ketika berada di gelanggang badminton apabila pernah muncul naib juara dua kali berturut-turut pada kejohanan Taiwan Morning Cup.
Justeru, pada saingan Senior Sedunia kali ini, beliau yang mewakili pasukan WCBF NZ tekad menampilkan aksi terbaik pada kejohanan yang terbahagi kepada beberapa kategori umur tersebut.
“Kejohanan ini akan turut disertai oleh bekas-bekas pemain antarabangsa dari seluruh dunia. Difahamkan, lebih 4,000 peserta bakal memeriahkan kejohanan tersebut dan saya akan bermain dalam acara perseorangan serta beregu lelaki.
“Ia terbahagi kepada beberapa kategori umur termasuk 40, 45, 50, 55, 60, 65 dan 70 tahun. Saya akan beraksi dalam kategori 70 tahun dan mengakui kami bakal berdepan aksi sukar di sana nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengulas mengenai persiapan bersama pasukan, DJ Dave mengakui mereka perlu memberikan fokus terhadap stamina memandangkan mereka mungkin akan beraksi sehingga 10 perlawanan dalam tempoh sehari.
Walaupun mengakui sukar tetapi beliau tetap meletakkan sasaran menamatkan saingan pada kedudukan terbaik selain memasang impian untuk mendengar lagu Negaraku berkumandang.
“Berhubung persiapan saya dan pasukan, setiap pemain memberi fokus terhadap stamina kerana ia memerlukan ketahanan diri yang sangat tinggi, lebih-lebih lagi saya perlu bermain dalam acara perseorangan dan beregu.
“Sudah tentu kita mahukan pencapaian tertinggi tetapi kita akan fokus satu demi satu perlawanan. Kalau boleh, memang impian saya untuk pastikan bendera Malaysia dikibarkan di sana nanti,” tambahnya.
DJ Dave akan menggalas cabaran dalam perseorangan lelaki dan beliau juga bakal bergandingan dengan pemain Indonesia, Agus Husin menerusi acara beregu lelaki.
Antara pencapaian terbaik pernah diraih penyanyi yang terkenal dengan lagu Ingin Bersua adalah memenangi pingat perak dua tahun berturut-turut pada Taiwan Morning Cup 2013 dan 2014, gangsa kejohanan Asia Pasifik 2018 serta layak ke suku akhir All England Senior 2016.










