ISU warga asing yang memonopoli perniagaan terutama di pasar sekitar ibu negara semakin membimbangkan.
Bagi mengatasi masalah itu, kerjasama antara persatuan peniaga dan kerajaan perlu diperkuat selain menetapkan matlamat untuk mengurangkan peniaga asing sekali gus membanteras pemilikan lesen perniagaan haram.
Bagi mengulas isu berkenaan, pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), DATUK MOHAMAD ABDULLAH berkongsi pandangan dengan wartawan Utusan Malaysia, NURIN WAHIDAH MOHD KHALID.
UTUSAN: Apakah pandangan Datuk mengenai isu lambakan peniaga warga asing hari ini?
Kebanjiran peniaga warga asing di negara kini sudah berada pada tahap membimbangkan kerana kebergantungan peniaga kita yang terlalu tinggi pada warga asing. Ini diburukkan lagi apabila generasi muda tidak minat untuk menceburi bidang perniagaan atau keusahawanan.
Situasi ini bukan sahaja menimbulkan persaingan kepada peniaga tempatan tetapi merisaukan dari aspek keselamatan makanan kerana golongan itu tidak menerima latihan dalam pengendalian makanan apatah lagi untuk mematuhi garis panduan yang lebih ketat.
Kita ambil contoh paling mudah iaitu pengambilan suntikan pelalian anti-tifoid yang kebanyakan mereka (warga asing) tidak peduli atau faham mengenai kepentingannya sedangkan di negara ini undang-undang itu telah lama dilaksanakan demi keselamatan makanan dan pengendaliannya.
Tetapi kita faham, isu pengambilan warga asing di tempat premis perniagaan ini berkait rapat dengan margin perniagaan iaitu untuk mengurangkan kos operasi tetapi perkara ini perlu diteliti secara lebih terperinci.
Adakah peniaga di sini benar-benar mematuhi Undang-Undang Kecil Perlesenan Petempatan Makanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Wilayah?
Pihak berkuasa sepatutnya lebih tegas dalam isu ini kerana ia melibatkan pematuhan undang-undang. Jika tidak dipatuhi tiada guna peraturan diwujudkan. Setakat ini saya lihat, warga asing masih bebas berniaga seolah-olah mereka warga tempatan.
Selain daripada penguatkuasaan oleh pihak berkuasa, kesedaran tentang pematuhan ini perlu wujud dalam kalangan pemilik perniagaan itu sendiri dengan mensyaratkan pekerja mereka menghadiri latihan pengendalian makanan, mengambil suntikan, piawaian kebersihan dan keselamatan di premis.
Bagaimana Datuk melihat peranan pasukan petugas khas atau task force DBKL dalam isu ini?
DBKL sudah menetapkan peraturan yang sistematik bahkan telah memberi masa yang panjang kepada peniaga untuk menggajikan warga tempatan. Kewujudan task force sememangnya penting dalam menyelesaikan isu ini melalui penguatkuasaan yang lebih ketat.
Apakah tindakan PPPKMWP dalam menangani isu ini.
Sebagai pembela penjaja dan peniaga kecil, visi kami adalah untuk membantu menyelesaikan setiap isu melalui perbincangan, menerima aduan, memberi pendedahan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa kerana peranan dan fungsi kami adalah sebagai perantara antara peniaga dengan pihak berkepentingan yang lain.
Apakah cadangan Datuk kepada kerajaan untuk mengatasi masalah peniaga warga asing ini?
Satu mekanisme boleh diwujudkan untuk memberi peluang kepada generasi muda khusus pelajar lepasan sekolah atau universiti bekerja atau mendapat latihan daripada peniaga atau penjaja.










