BUTTERWORTH 12 Okt. – Bagi mengelakkan rahsianya terbongkar, seorang wanita berpakat dengan teman lelakinya menanam mayat bayi yang dilahirkan di Tanah Perkuburan Islam Bagan Dalam di sini pagi ini.
Suspek berusia 22 tahun itu dipercayai melahirkan bayi lelaki tidak cukup bulan (dianggarkan berusia lima atau enam bulan) di sebuah rumah di Mukim 6, Kampung Pertama dekat Permatang Pauh namun meninggal dunia.
Mayat bayi malang berkenaan dibalut dengan kain pelekat sebelum ditanam di tanah perkuburan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, lelaki tersebut kemudian menghantar wanita yang bekerja sambilan di sebuah hotel itu untuk mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya.
“Wanita yang berasal dari Flat Bagan Dalam itu mengalami tumpah darah ketika berada di rumah teman lelakinya dan melahirkan bayi yang cukup sifat itu awal pagi ini namun meninggal dunia dan mereka membalutnya dengan kain pelekat sebelum membawanya ke tanah perkuburan itu.
“Pihak polis mendapat laporan berkaitan kes itu daripada doktor yang merawat suspek kerana dipercayai menyembunyikan kelahiran dan mengesahkan terdapat kesan luka bersalin pada suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Nik Ros Azhan, polis kemudian memeriksa di kawasan tanah perkuburan Islam itu namun gagal menemukan lokasi mayat bayi tersebut ditanam.
Polis kini sedang mengesan teman lelaki suspek yang menghilangkan diri.










