KEJADIAN tanah runtuh di tapak projek pembinaan lebuh raya di Bukit Kukus, Relau di sini pukul 2 petang tadi berlaku kira-kira setahun selepas kejadian serupa di Tanjung Bungah pada 21 Oktober tahun lalu.
Dalam kejadian tahun lalu, seramai 11 maut iaitu 10 pekerja warga asing dan seorang rakyat tempatan selepas tertimbus tanah runtuh dari lereng bukit ketika sedang bekerja di tapak pembinaan sebuah pangsapuri.
Dalam kejadian hari ini pula, seramai 10 orang pekerja asing dikhuatiri tertimbus juga akibat runtuhan tanah dari lereng bukit di kawasan tapak projek pembinaan.
Situasi itu sekali gus mencetuskan tanda tanya berkenaan sejauh mana pihak berwajib khususnya kerajaan negeri mengambil pengajaran daripada kejadian hampir sama yang berlaku hanya setahun lalu.
Kejadian terbaharu hari ini juga seolah-olah membuktikan kebimbangan dan ketakutan banyak pihak di negeri ini berhubung kelulusan sekian banyak projek di kawasan berisiko khususnya di lereng bukit.
Kebimbangan itu bukan baharu semalam disuarakan banyak pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO), malah sejak kejadian tahun lalu banyak pihak secara berterusan mendesak kerajaan negeri menghentikan segera projek berisiko terbabit.
Pembinaan projek lebuh raya yang merentas bukit Bukit Kukus yang menyaksikan berlakunya tragedi runtuhan hari ini misalnya adalah antara yang mendapat bantahan keras penduduk.
Ini kerana secara pandangan kasar sekali pun, projek itu dilihat sangat berisiko kerana kerja-kerja tarahan bukit yang curam dan berbahaya.
Keadaan menjadi lebih berisiko dalam situasi musim hujan ketika ini dan kebimbangan banyak pihak itu akhirnya benar-benar menjadi kenyataan apabila bencana sama berulang.
Agak menarik untuk menilai dan memerhati bagaimana pihak berwajib cuba menjustifikasikan kejadian terbaharu ini kelak sama ada mahu terus menyalahkan keadaan cuaca khususnya hujan lebat.
Apa pun alasannya kelak, projek di kawasan berisiko khususnya di lereng bukit di negeri ini akan terus meletakkan nyawa manusia dalam bahaya dan perlu ada pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya. – UTUSAN ONLINE










