Sweetchild mahu hiburkan Singapura - Utusan Malaysia

Sweetchild mahu hiburkan Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMPOH enam tahun melayari bahtera perkahwinan dengan isteri, Marya Zuraida, vokalis kumpulan Sweetchild, Acong masih menanti rezeki untuk menimang cahaya mata dan tidak pernah berputus asa.

Kata Acong atau nama lengkapnya, Ahmad Fauzi Manan, 45, walaupun masih belum mempunyai zuriat, dia tidak pernah rasa sunyi atau kekurangan.

“Siapa yang tidak mahukan anak apabila sudah berkahwin. Semua pasangan berkahwin inginkan cahaya mata, siapa yang tidak suka tengok bayi comel. Barangkali, untuk saya dan isteri rezeki itu masih belum sampai.

“Ada yang bertanya tidak sunyikah belum ada anak, saya tak pernah rasa begitu kerana isteri sentiasa ada di sisi. Tambahan lagi, Marya pun sudah ada seorang anak hasil perkahwinan terdahulu,” katanya membuka bicara.

Ditanya sama ada dia pernah mempunyai hasrat untuk mengambil anak angkat, pelantun lagu Tinggal Sayang Tinggallah Pujaan itu mengakui tidak pernah terfikir untuk berbuat demikian.

“Kehidupan kami suami isteri amat sibuk, bukan kami tidak mahu anak. Seperti yang saya kata tadi, rezeki belum sampai.

“Soal ingin ambil anak angkat, itu tidak pernah kami fikirkan. Kalau boleh mahu anak sendiri dan kami akan terus berusaha,” jelasnya lagi.

Acong yang juga bekas peserta Gegar Vaganza 2 menjadi suami kepada Marya Zuraida pada 15 Disember 2012, selepas 10 tahun menduda sementelah Marya sudah mempunyai seorang anak ketika itu.

Dia bagaimanapun mengharapkan doa daripada orang ramai untuk menimang cahaya mata sendiri dan sentiasa didakap bahagia dengan isteri tercinta.

“Doakanlah kami agar diberikan rezeki untuk dikurniakan anak sendiri. Dalam pada itu, saya sentiasa berdoa agar rumah tangga kami suami isteri terus bahagia mewangi andai ditakdirkan tidak mempunyai rezeki anak sendiri,” tuturnya positif.

Showcase

Acong ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu Aku Untukmu dan pengumuman Showcase Sweetchild Aku Untukmu di Singapura yang akan diadakan pada 20 Oktober ini di FG Empire Delight Gallery at 50 Punggol, Singapura.

Showcase berkenaan diadakan selepas 22 tahun Sweetchild tidak mengadakan sebarang persembahan di negara tersebut.

“Kali terakhir kami membuat persembahan di Singapura pada tahun 1996. Saya rasa tempat yang kami buat persembahan sekarang ini pun sudah tidak wujud,” kata Acong.

Penjualan tiket untuk showcase tersebut hanya dijual dengan harga $20 (RM82) dan setakat ini sudah lebih 80 peratus habis dijual.

“Alhamdulillah, kami sendiri tidak sangka tiket terjual laju, terima kasih kepada peminat di Singapura. Kami akan memberikan yang terbaik buat anda semua.

“Peminat yang hadir adalah sekitar 300 orang. Bukan tidak mahu membuka lebih banyak tiket mungkin 500 orang, namun buat setakat ini, inilah yang termampu dan kami akan memberikan persembahan yang terbaik,” kata Acong.

Tambah Acong, showcase yang bermula pada pukul 8 malam itu menyaksikan Sweetchild akan menyanyikan 15 buah lagu termasuk lagu nyanyian semula (cover), segmen tribute untuk penyanyi berasal dari Singapura selain lagu hit mereka sendiri.

Dalam perkembangan lain, Sweetchild kini sedang giat mempromosikan single ketiga mereka berjudul Aku Untukmu ciptaan Gnola dan lirik ditulis Musrad/Gnola dan ia bakal dilancarkan di Singapura pada hari showcase berlangsung.

n Selepas 17 tahun menyepi Sweetchild muncul dengan single berjudul Lepaskanmu pada tahun 2016 dan seterusnya single bertajuk Doa Dariku selepas Acong bergelar finalis program Gegar Vaganza 2.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×