SHAH ALAM 8 Okt. – Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan memberi sumbangan RM60,000 kepada enam keluarga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lemas ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sebuah lombong di Puchong pada minggu lalu.
Ketua Pegawai Penyelarasnya, Abdul Basith Hamid berkata, menerusi sumbangan Bantuan Sara Hidup itu, setiap keluarga akan menerima RM10,000 dan ia akan diserahkan dalam masa terdekat.
Menurutnya, bantuan itu bertujuan meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga enam anggota bomba itu selepas kehilangan sumber pendapatan utama terutamanya bagi yang kematian suami.
“Saya bagi pihak LZS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja enam oanggota bomba itu yang telah syahid ketika menjalankan tugas.
“Semoga dengan bantuan ini dapat membantu meringankan beban keenam-enam ahli keluarga anggota bomba itu,” katanya ketika berucap dalam Majlis Serahan Sumbangan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM) di Hospital Shah Alam, di sini hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Turut hadir isteri Menteri Besar Selangor, Masdiana Muhammad, Pengerusi Yayasan Institut Jantung Negara, Toh Puan Dr. Aishah Ong dan Pengerusi Lembaga Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.
Dalam kejadian pada 3 Oktober lalu, enam anggota bomba Selangor meninggal dunia selepas mereka terperangkap dalam putaran air ketika dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki, Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azam.











