KUALA LUMPUR 30 Okt. – Harga rumah baharu yang belum dibina di negara ini dijangka menurun antara lima sehingga 10 peratus selepas pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikenakan ke atas bahan binaan dan perkhidmatan pembinaan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, susulan pengecualian cukai tersebut, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) telah berbincang dengan ahli mereka berhubung usaha kerajaan untuk menurunkan harga rumah.

Katanya, Rehda juga memberi respon positif sungguhpun dibuat pada saat terakhir.
“Sebelum ini, sebanyak enam peratus cukai barang dan perkhidmatan (GST) dikenakan ke atas perkhidmatan pembinaan, namun kerajaan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk tidak mengenakan SST kerana kami mahu merangsang sektor hartanah dan berharap dengan langkah itu boleh menurunkan harga rumah,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Mengulas lanjut Guan Eng berkata, perkara itu tidak melibatkan projek perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah kerana termasuk dalam kategori harga rumah terkawal.
“Kalau harga rumah terkawal, itu agak sukar. Apa yang kita sebut adalah yang bukan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah kerana kos pembinaan jauh lebih besar daripada harga yang dijual.
Menurutnya, harga bagi rumah yang sudah siap dibina pula akan diumumkan pada Jumaat ini.
“Ini untuk rumah baharu dilancarkan, bagi yang sedia ada, kena tunggu hari Jumaat (pembentangan Belanjawan 2019),” katanya.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, kerajaan akan mengenakan SST kepada pemaju yang enggan menurunkan harga.
“Tentu orang tanya sekiranya tiada penurunan harga rumah bagi yang belum dibina, maka kita mungkin kenakan balik SST enam peratus,” katanya.










