SST bukan faktor harga rumah turun - Utusan Malaysia

SST bukan faktor harga rumah turun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Persoalan sama ada harga rumah boleh diturun­kan selepas bahan binaan dikecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menjadi ‘taboo’ dalam sektor hartanah di negara ini.

Dalam hal ini, penganalisis berpendapat secara logik ia (SST) sepatutnya boleh mengurangkan harga antara lima hingga 10 peratus tetapi hakikatnya keadaan tersebut bergantung pada banyak faktor.

Namun, apa yang membimbangkan, adakah naik turun harga ini boleh dikawal oleh kerajaan dalam memastikan rakyat Malaysia mampu memiliki rumah terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penganalisis Hartanah, Ishak Ismail berkata, penjimatan cukai enam peratus SST seharusnya dipindahkan untuk me­ngurangkan harga rumah dan bukannya meningkatkan margin keuntungan pemaju.

Walau bagaimanapun, katanya, banyak faktor yang mempengaruhi penentuan harga rumah se­perti kos pembelian tanah, kos pembinaan, kos pematuhan dan kos pembiayaan. Kesemua faktor ini perlu yang dilihat secara menyeluruh oleh kerajaan dan ia bukan semata-mata faktor pengecualian SST sahaja.

“Ini termasuk kos pematuhan dan caruman seperti pembayaran kos ubah syarat, kelulusan perancangan, ukur dan bayaran caruman kepada agensi kerajaan yang masih tinggi yang perlu dibayar pemaju sekali gus mempengaruhi naik turun harga rumah.

“Dalam soal ini, kerajaan sepatutnya meningkatkan kecekapan terutamanya di dalam proses kelulusan pelan pemba­ngunan dan memudahkan cara pembiayaan. SST sahaja dilihat bukan satu-satunya faktor yang boleh menurunkan harga rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Awal minggu ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan terpaksa menimbang semula untuk menarik balik pengecualian SST ke atas bahan binaan dan perkhidmatan pembinaan sekiranya pemaju hartanah ingkar untuk menurunkan harga rumah.

Ogos lalu, kerajaan memberi pengecualian SST terhadap bahan mentah utama dan perkhid­matan pembinaan dan berharap langkah itu menjadikan kos pembinaan lebih rendah dan memberi manfaat kepada pemaju serta pembeli.

Ishak yang juga Ketua Pegawai Eksekutif IM Global Pro­perty Consultants Sdn. Bhd. berkata, jika pemaju mengambil inisiatif menggunakan sistem bangunan perindustrian (IBS), kos pembinaan boleh dikurangkan antara 10 hingga 20 peratus kerana ia mampu menjimatkan kos penggunaan tenaga buruh di samping mempercepatkan tempoh pembinaan.

Bagaimanapun, Pengarah Pe­nyelidikan dan Perancangan Strategik Rahim & Co., Sulaiman Akhmady Mohd. Saheh menjangkakan tidak banyak perubahan kepada harga rumah walaupun kerajaan mengecualikan SST ke atas bahan binaan.

“Impaknya amat kecil de­ngan sekitar 1.5 hingga dua pe­ratus sahaja. Ini kerana ia masih dipengaruhi keadaan pasaran dan SST tidak boleh dilihat membantu mengurangkan harga rumah.

“Jadi, dalam soal ini, saya tidak boleh mengatakan sama ada harga rumah akan turun, naik atau kekal apabila kerajaan laksanakan langkah ini,” katanya.

Beliau berkata, banyak isu dalam sektor hartanah yang masih mempengaruhi keadaan pasaran, antaranya rumah-rumah tidak terjual masih menjadi dilema kepada pemaju.

“Ini menyebabkan keadaan pasaran pada separuh kedua yang lembap ini dijangka berte­rusan sehingga tahun hadapan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini