KETUA jurulatih skuad bawah 19 (B-19) negara, Bojan Hodak mahu anak-anak buahnya mengambil serius aksi persahabatan menentang Qatar B-19 yang dilihat sebagai ujian terbaik sebelum mengharungi Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Indonesia pertengahan bulan ini.
Hodak yang berjaya membawa skuad muda Harimau Malaya menjuarai Piala AFF B-19 Julai lepas telah menyenaraikan 24 pemain yang dibawa pada aksi pemanas badan di Doha malam esok.
Katanya, aksi menentang Qatar dilihat sangat penting kerana barisan pemain muda negara perlu mendapat pengalaman bertemu dengan corak fizikal dan keras daripada negara Asia Barat yang dilihat sangat berguna pada kejohanan AFC B-19 nanti.
Sebagai rekod, skuad B-19 negara diletakkan dalam Kumpulan D bersama juara edisi 1986 dan 1992, Arab Saudi dan bekas juara pada tahun 1982, China serta Tajikistan.
“Salah satu sebab saya bersetuju untuk melakukan perlawanan persahabatan dengan Qatar adalah kerana corak permainan mereka yang hampir sama dengan pesaing dalam pasukan kami seperti Arab Saudi dan China.
“Apa yang penting, saya mahu pemain berikan yang terbaik dan membuktikan bahawa mereka layak untuk berada dalam senarai pasukan ke Kejohanan AFC B-19 di Indonesia nanti,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Sementara itu, Hodak turut memuji peningkatan daripada sudut mentaliti barisan pemainnya yang dilihat sudah bersedia sepenuhnya untuk beraksi di gelanggang Indonesia yang juga seteru tradisi negara.
“Kami berjaya menang Piala AFF di Indonesia yang cukup istimewa dan saya harap pemain-pemain sudah bersedia untuk mengulangi kecemerlangan sama memandangkan kekuatan mental dan fizikal mereka yang sudah meningkat berbanding tiga bulan lalu,” katanya.
Skuad muda Harimau Malaya bakal berdepan Arab Saudi pada aksi pertama 20 Oktober ini, diikuti pertemuan dengan Tajikistan pada 23 Oktober sebelum membuat perhitungan terakhir China berselang tiga hari kemudian.











