KOTA BHARU 30 Sept. – Kepetahan tukang karut Sekolah Kebangsaan (SK) Islah, Aiman Haffiz, 12, melontarkan pantun bernas mengikut topik Cakna Ubat Anda membawa tuah apabila sekolahnya dinobatkan sebagai juara Pertandingan Dikir Barat Farmasi Junior di sini semalam.
Lebih manis, Aiman dijulang sebagai tukang karut terbaik menerusi Anugerah Cikgu Sulizi yang merupakan tukang karut terkemuka dalam arena dikir barat.
Selaku johan, SK Islah membawa pulang hadiah wang tunai RM600 berserta sijil.
Tempat kedua pula disandang oleh SK Kubang Kerian 3 dengan wang tunai RM500 dan sijil.
Penyelaras Pertandingan Dikir Farmasi Junior 2018, Mohammad Aswady Adenan berkata, penganjuran tersebut bertujuan menyampaikan maklumat mengenai ubat-ubatan secara santai menerusi seni dikir barat khususnya kepada murid sekolah.
“Pendedahan secara langsung ini mampu mendidik mereka supaya sentiasa waspada dan berhati-hati dalam pengambilan ubat-ubatan. Terutamanya pengetahuan tentang ubat-ubatan yang tidak berdaftar kerana ia boleh memberikan impak cukup besar khususnya dalam aspek kesihatan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Aswady memberitahu, selain perihal ubat-ubatan, pertandingan itu juga turut menyelitkan penerangan bahaya produk kecantikan yang tidak berdaftar di negara ini.
“Penerangan itu bertujuan supaya murid-murid ini pulang ke rumah dan berkongsi maklumat berkaitan ubat-ubatan dan kosmetik yang tidak diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.
“Pemilihan dikir barat dibuat kerana plaftrom tersebut dilihat lebih dekat dengan masyarakat di negeri ini. Malah, penerangan sebegini mudah melekat dalam minda masyarakat kerana ia didendangkan dalam bentuk lagu,” jelasnya.











