MELAKA 15 Okt. – Keadaan banjir di Melaka pulih sepenuhnya apabila kesemua dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Jasin dan Alor Gajah ditutup, hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt. Kol. (PA) Effendy Ali berkata PPS Balai Raya Seri Jeram di daerah Alor Gajah telah ditutup pada 12 tengah hari, manakala PPS di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu di daerah Jasin ditutup pada pukul 2.30 petang tadi.
“Kesemua 11 mangsa dari dua keluarga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Effendy yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka berkata keadaan cuaca di seluruh negeri kini dilaporkan baik. – BERNAMA










