KAMPAR 2 Okt. – Polis Perak berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri jentera berat dengan tertangkapnya enam lelaki berusia antara 33 hingga 65 tahun dalam beberapa serbuan berasingan sejak 15 September lalu sehingga kelmarin.
Dalam serbuan tersebut, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak berjaya merampas barang kes yang dianggarkan bernilai kira-kira RM200,000.
Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan terlibat dengan 10 kes kecurian melibatkan kerugian lebih RM500,000 di Kuala Kangsar, Manjung dan Gerik.
Katanya, kumpulan berkenaan juga dilaporkan melakukan kekerasan sekiranya mangsa-mangsa yang disamun cuba melawan.
“Operasi khas dijalankan bermula 15 September hingga kelmarin untuk memburu dan menangkap suspek yang terlibat dan kesemua enam suspek ini berjaya ditangkap di sekitar Ipoh.
“Kesemua suspek ini mempunyai beberapa rekod jenayah lampau bersabit kes samun, curi dan dadah. Kita turut merampas barang kes iaitu sebuah mesin excavator jenama Sumitomo, sebuah lori dan beberapa komponen excavator bernilai RM200,000,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan IPK Perak dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kampar di perkarangan IPD Kampar di sini hari ini.
Menurut Hasnan, dengan tertangkapnya kumpulan tersebut, pihaknya berjaya menyelesaikan 10 kes samun di tiga daerah di negeri ini iaitu 4 kes masing-masing di Kuala Kangsar dan Manjung serta dua kes di Gerik.
Katanya, siasatan lanjut mendapati barang yang dicuri itu akan dileraikan kepada beberapa bahagian dan dijual untuk pasaran tempatan dan luar.
“Polis juga sedang mengesan seorang lagi lelaki yang sangat dikehendaki bagi membantu siasatan iaitu S. Murugan, 30, berasal dari Kuala Kangsar. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN ONLINE










