Sikap mengalah melampau - Utusan Malaysia

Sikap mengalah melampau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Okt. – Sikap mengalah yang me­lam­pau-lampau dalam ka­langan orang Melayu telah menyebabkan banyak hak dan kepentingan bangsa hilang direbut pihak lain.

Hashim Yaacob

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob berkata, sikap tersebut tidak adil kepada diri sendiri bahkan merugikan kerana orang Melayu tidak akan berada pada kedudukan yang tinggi seperti bangsa-bangsa lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Orang Melayu sangat lembut perangainya tetapi kita juga kena jaga hak dan kepenti­ngan sendiri kerana apabila kita duduk dalam negara yang mempunyai pelbagai kaum, kita kena berlaku adil tanpa menganiaya atau mengambil hak orang lain.

“Kalau orang Melayu hendak hidup di tanah keturunan nenek moyang ini, tidak mengapa ada bangsa lain tetapi kita kena berebut untuk berada di depan dan bukannya mengalah secara membuta-tuli,” katanya kepada pemberita selepas menjadi moderator dalam Wacana Ilmiah: Asal Usul Melayu, Induknya di Benua Sunda di Wisma Majlis Perundingan Melayu (MPM), di sini hari ini.

Kira-kira 40 peserta hadir dalam wacana yang menghuraikan mengenai asal usul orang Melayu menerusi kajian selama tujuh tahun daripada Penyelidik sejarah dan penulis dari Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IAAM), Zaharah Sulaiman.

Sementara itu, Dr. Hashim yang juga pakar pergigian di Pusat Pakar Universiti Malaya berkata, orang Melayu juga ter­kenal dengan sikap terlalu ambil mudah dalam semua perkara yang akhirnya meletakkan bangsa tersebut berada di takuk yang sama.

Kata beliau, keadaan itu jelas menerusi amalan Ali Baba yang begitu sinonim dalam kalangan orang Melayu apabila menjalankan perniagaan.

“Apa pun keturunan atau kehidupan keluarga kita, kena ingat Allah mengurniakan otak yang sama kepada umatnya, apa yang penting adalah usaha bak kata pepatah, belakang parang diasah lagikan tajam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini