KOTA KINABALU – Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew, Raymond Ahuar menafikan dakwaan dirinya terlibat dalam kes penderaan dan merogol dua wanita warganegara Indonesia baru-baru ini.
Kontroversi tersebut tercetus selepas tular sebuah video berdurasi 1minit 25saat yang mana dua wanita dikenali sebagai Linda dan Wilda mendakwa mereka dirogol dan didera Raymond sehingga cedera pada anggota badan.
Raymond berusia 33 tahun berkata, bagi membersihkan nama baiknya dan keluarga dia telah bertindak membuat laporan di Balai Polis Keningau daerah Keningau pada 5 Oktober lalu.
“Saya enggan mengulas lanjut mengenai kes ini kerana khuatir mengganggu siasatan. Biarlah polis bertindak mengenal pasti siapa dua wanita terbabit dan pihak yang bertanggungjawab merakam dan menyebar dakwaan (dera dan rogol) ini.
“Saya juga tidak menolak kemungkinan bahawa isu ini berkait rapat dengan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedang berlangsung tetapi, saya tidak mahu menuduh sesiapa,” katanya menerusi aplikasi WhatApps di sini hari ini.

Sementara itu, Raymond yang juga merupakan calon Timbalan Angkatan Muda Keadilan Pusat dalam kempen pemilihan PKR tahun ini menyarankan rakan-rakan parti yang bertanding supaya fokus kepada hala tuju parti daripada memikirkan isu serangan peribadi.
Terdahulu, difahamkan pada 5 Oktober lalu tular menerusi laman sosial Facebook, video mengenai dua wanita bernama Linda dan Wilda mendakwa dirogol dan dicedera Raymond dan seorang lelaki bernama Raden.
Dalam perkembangan berkaitan, usaha Kosmo! Online untuk mendapatkan pengesahan daripada pihak polis masih belum berjaya. – K! ONLINE








