PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menghalang mana-mana anggota atau pegawainya ‘berkawan’ dengan sesiapa selagi maklumat siasatan atau bukti tidak dibocorkan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, pihaknya tidak akan melakukan siasatan terhadap kakitangan badan penguat kuasa tersebut dan mereka seharusnya mengetahui etika dan peraturan yang ditetapkan.
“Takkanlah kita (anggota dan pegawai SPRM) tak boleh berkawan, selagi mereka tidak bocorkan maklumat siasatan atau bukti (kes SPRM), kita tidak akan halang.
“Apabila SPRM menghantar notis pemanggilan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO), ia bukan lagi rahsia dan Ahmad Zahid boleh memberitahu isteri dan peguamnya, notis tersebut merupakan satu dokumen awam,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Seminar ‘Bersiap-Sedia Untuk Liabiliti Korporat’ di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang mendakwa Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam mempunyai ‘kawan’ dalam SPRM yang membocorkan maklumat berhubung Ahmad Zahid akan disoal siasat hari ini. – K! ONLINE











